HAZAYANI ZAKARIA
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyertai
perhimpunan aman ‘Turun Najib Mansuhkan GST’ pada 2 April ini.
Komander himpunan Mohamad Sabu berkata, pihak penganjur telah
memaklumkan berkaitan perhimpunan tersebut kepada Mahathir dan tidak
menolak kemungkinan beliau akan hadir.
“Tun Mahathir juga akan
bersama kita di Dataran Merdeka pada 2 April. Himpunan di Ampang hari
itu beliau tak beritahu untuk hadir tetapi tiba-tiba hadir dan kita
yakin Tun akan turun pada Sabtu ini,” kata beliau pada sidang media di
Wisma Amanah di ibu Negara hari ini.
Himpunan sempena setahun
Cukai Barangan dan Perkhidmatan(GST) dilaksanakan itu akan bermula pada
jam 2 petang dan dijangka berakhir secara aman pada jam 6 petang.
Mereka
akan berhimpun di tiga tempat iaitu Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan
Sultan dan Pasar Seni kemudian bergerak ke Sogo sebelum berhimpun di
Dataran Merdeka.
“Kita tak katalah yang berpakaian hitam tak
boleh hadir tapi digalakkan berpakaian hitam dan turun beramai-ramai,”
katanya yang juga presiden Parti Amanah Negara (Amanah).
Sementara
itu, ketua pemuda Amanah Nasional Sany Hamzan menyeru seluruh rakyat
Malaysia hadir secara aman dan tidak mencetuskan sebarang huru-hara.
“Seperti dimaklumkan, ini himpunan aman dan semua rakyat Malaysia mesti hadir dalam keadaan baik.
“Kalau
ada sebarang provokasi itu bukan daripada peserta himpunan tertapi
daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan ingin mencetuskan
kekacauan,” tegasnya.
Pengerusi Jingga 13 Fariz Musa pula
berkata, pihaknya memberikan komitmen penuh terhadap himpunan tersebut
dan akan berhimpun di Pasar Seni sebelum ke Dataran Merdeka.
“Jingga
13 daripada awal memberikan sokongan penuh kepada himpunan dan mahukan
rakyat yang menolak GST untuk sama-sama menyatakan sokongan dengan turun
pada Sabtu ini,” katanya.
Seramai 600 petugas keselamatan
daripada Unit Tindak DAP (Tindak), Skuad AMK PKR dan Amal Relief Amanah
(ARif) akan bertugas mengawal kelancaran himpunan.
Menurut
Mohamad Sabu juga, pihak polis juga sudah dimaklumkan mengenai himpunan
ini dan mendapat kerjasama yang baik daripada pihak keselamatan.
“Kita dah maklumkan kepada pihak polis dan seperti biasa layanan polis sangat baik dan memberikan layanan yang mesra,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan