Ahad, 27 Mac 2016

Ayuh gempur Pentas Muafakat Selamatkan Malaysia 28 Mac

KEADILAN DAILY

 

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan perhimpunan Muafakat Selamatkan Malaysia siri pertama pada Isnin, 28 Mac ini sebelum menjelajah ke seluruh negara.

B5 HANDBILL-01-01Perhimpunan pertama ini akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah bermula 8 malam.

Menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli, himpunan ini akan dijadikan wadah untuk menggembleng seluruh rakyat bagi mencipta gelombang untuk mendesak Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

Rafizi yakin gelombang ini mampu mencipta kejutan untuk menewaskan Umno BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

“Pentas himpunan ini terbuka untuk semua pihak tanpa mengira latar belakang, jemputan juga telah dihantar kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Seri Shafie Afdal dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Yang menariknya kesemua pimpinan tertinggi Pakatan Harapan juga akan bersama-sama berkongsi pentas untuk menyelamatkan negara ini dari dikuasai Umno BN,” katanya.

Perhimpunan akan diteruskan di Gelang Patah, Johor pada Sabtu 16 April, diikuti Alor Setar pada Sabtu, 7 Mei. Untuk program seterusnya, pihak Sekretariat PH akan mengeluarkan jadual untuk setiap negeri.

Jelas Rafizi, rakyat semua dijemput hadir bagi menyatakan sokongan kepada tuntutan Muafakat Selamatkan Malaysia.

“Rakyat wajib mengambil peluang ini untuk menghantar isyarat kepada Najib untuk berundur sekaligus menamatkan derita rakyat ketika ini,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.

Tiada ulasan: