Selasa, 29 Mac 2016

Portal pro-Najib: Four Corners papar pemabuk, penipu, nyanyuk

MALAYSIAKINI




Sebuah portal Umno yang adalah penyokong tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak , menafikan dokumentari Australia Four Corners bertajuk State of Fear: Pembunuhan dan Wang di Malaysia.

Mykmu.net mendakwa program 44 minit itu memaprkan watak-watak yang mental tidak stabil, penipu, pemabuk dan orang nyanyuk.

Portal itu juga menganggapnya sebagai “filem cereka pendek” dan bukannya dokumentari kerana dokumentari harus mengandungi bukti dan analisis berdasarkan bukti.

“Filem pendek ini bermula dengan footage menunjukkan kebiadapan Linton Besser menerjah acara perdana menteri bersama rakyat hanya untuk bertanya mengenai akaun beliau yang sedang disiasat.

“Wartawan ini tidak menunggu sidang media tetapi menahan perdana menteri di tengah jalan seolah-olah mereka masih penjajah negara ini.

“Linton Besser perlu sedar bahawa Najib adalah perdana menteri bukan pemilik bar di Australia yang bersusur galurkan banduan England.

"Perdana Menteri Malaysia sentiasa terbuka kepada soalan dalam sidang media tapi bukan dengan cara menyergah beliau di tengah jalan,” katanya.

Bagi "filem pendek" Four Corners itu, Mykmu berkata ia tidak lebih daripada sebuah naratif politik yang menggabungkan sudut pandangan beberapa orang yang mempunyai agenda menentang perdana menteri dan digabungkan secara kreatif dengan isu-isu semasa.

Antaranya, seperti pembunuhan pendakwaraya Kevin Morais, pembunuhan bekas pengasas AmBank, jumlah wang dalam akaun peribadi Najib di Ambank dan pembunuhan Altantuya Sharibu.

Portal Umno ini juga memberi penerangan tambahan berhubung individu yang ditemubual seperti Charles Morais yang dakwanya “mempunyai banyak hutang di Amerika Syarikat dan sanggup berkata apa sahaja demi duit.”

Charles, seorang pemilik hotel yang berpangkalan di Atlanta adalah abang Kevin. Beliau mencetuskan kekecohan dengan akuan bersumpah dan mendakwa mempunyai pen drive yang menympan bukti. Beliau bagaimanapun kini tidak dapat dikesan oleh media.

Mykmu menggambarkan pengasas Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown yang turut ditemuramah, sebagai seorang yang dibayar berjuta ringgit oleh sebuah yayasan di luar negara.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, menurut portal itu adalah “hampir nyanyuk tapi masih mahu menjatuhkan Najib”.

Zaid Ibrahim pula disebut sebagai bekas penyokong Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang kemudian disingkirkan dari Umno dan mendesak Yang di-Pertuan Agong agar tidak melantik Najib sebagai perdana menteri.

“Apabila diletakkan antagonis-antagonis seperti ini dalam cereka pendek tajaan ABC tentulah kita akan mendapat satu soap opera politik Malaysia,” katanya.

Dalam dokumentari yang disiarkan semalam, Four Corners membentangkan apa yang diakui sebagai butiran akaun bank peribadi perdana menteri.

Menurut program itu, kru penerbitannya ditunjukkan dokumen bank oleh 'sumber peringkat tertinggi’ yang tidak dinamakan.


Tiada ulasan: