Isnin, 28 Mac 2016

"Najib lebih teruk daripada Pak Lah," tegas Mahathir

 ARIF ATAN


Ucaptama Tun Dr Mahathir di Kongres Rakyat ditunggu-tunggu ramai.Ucaptama Tun Dr Mahathir di Kongres Rakyat ditunggu-tunggu ramai.


Berulang-kali Tun Mahathir menggesa seluruh rakyat bangkit menjatuhkan Najib Razak ekoran pelbagai kepincangan kepimpinan Perdana Menteri itu.

Beliau dalam ucaptamanya selama 49 minit di Kongres Rakyat 2016 di Shah Alam hari ini berkata, usaha menyingkirkan Najib juga dapat dilakukan dengan campur tangan pihak istana.

"Masing-masing dengan NGO, kesatuan sekerja yang ada 14 juta anggota. Dapat 13 juta (tandatangan Deklarasi Rakyat) pun jadilah (nada seloroh). Semua harus tandatangan deklarasi ini.

"Kalau kita dapat berjuta-juta tandatangan, kita dapat tunjukkan pada raja-raja. Moga dapat dilakukan sesuatu usaha untuk menyingkirkan Najib," jelasnya.

Mengulas dakwaan suara yang menuntut Najib berundur kononnya hanya usaha menjatuhkan kerajaan, beliau berkata, itu tuduhan yang diputar belit.
"Ini negara kita. Bukan milik Najib seorang. Saya tinggalkan Umno sebab tak mahu jadi ahli parti Najib. Saya tak rela sebab tujuannya hanya memastikan Najib terus jadi Perdana Menteri," ujarnya.
Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu turut menyifatkan kepimpinan Najib sebagai lebih teruk daripada Tun Abdullah Badawi.

"Tingkah laku dia (Najib) tak macam Perdana Menteri. Dia suka guna wang untuk pikat rakyat.

"Bila pilihan raya tak berapa baik (keputusan), tambahkan BR1M. Ini semua rasuah nak beli rakyat dengan wang.

"Itu pun saya masih sokong Najib tapi cakap juga janganlah bagi duit pada orang tapi jawabnya, 'cash is king'.

"Saya nampak ini penyakit. Dia (Najib) sembah duit. Dia bagi duit pada orang, nak jadi popular. Bagi sikit-sikit tak dapat sokongan," ujarnya yang sebelum itu merapatkan kedua-dua tangan menggayakan cara orang menyembah.

'Nasihat tak dengar'

Ucaptama Mahathir yang dinantikan ramai hadirin itu turut mendedahkan pelbagai pembaziran dilakukan Najib selain sindiran kepada Rosmah Mansor.

"Majlis perkahwinan (anak Najib) di lima tempat, angkut 300 orang ke Kazakhstan. Masa anak saya dulu kahwin, ada sesiapa di sini tahu?

"Bunga saja RM3 juta. Dah dapat banyak duit, masih nak duit lagi. Saya nasihat Najib, dia tak dengar.

"Perbuatan Najib semua inilah, saya berpendapat dia tak boleh jadi Perdana Menteri. Banyak sangat kesalahan, sampai esok hari pun tak habis. Panjang sangat," tambah Mahathir lagi.

Terdahulu, seramai 18 pembahas mewakili parti pembangkang dan NGO mengambil bahagian dengan dimulai Datuk Zaid Ibrahim selepas nyanyian lagu Negaraku tepat jam 2 petang.

Tiada ulasan: