Isnin, 28 Mac 2016

Selangor digesa pinda enakmen elak salahguna Darjah Kebesaran

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan membuat pindaan terhadap Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) 1962 dalam sidang kali ini.
 
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian bagi menangani perbuatan dan pemakaian Darjah Kebesaran tanpa pengiktirafan.
 
Baginda menyifatkan kegiatan memberi, menjual dan menggunakan Darjah Kebesaran yang tidak diiktiraf sebagai satu penipuan dan salah dari segi undang-undang.
 
"Seperti yang termaktub dalam Perkara 38 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, Beta sahajalah sebagai Sultan Negeri Selangor yang berhak menganugerahkan dan mewujudkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat di dalam negeri Selangor.
 
"Beta telah dimaklumkan oleh pihak kerajaan negeri bahawa pindaan yang dicadangkan melalui Rang Undang-Undang Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Daripada Salah Guna) (Pindaan) 2016 ini meliputi pindaan yang berkaitan dengan pencegahan penganugerahan Darjah Kebesaran yang tidak diiktiraf di samping penetapan kadar hukuman yang lebih berat bagi kesalahan yang dilakukan di bawah enakmen tersebut," demikian titah Baginda ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat DUN Selangor yang ke-13, pagi tadi.
 
Kegiatan memberi, menjual dan menggunakan darjah kebesaran daripada pihak-pihak yang tidak diiktiraf dan mengakui dirinya sebagai Sultan atau Raja menjadi polemik di kalangan rakyat negara ini. 
 
Individu yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Melaka, Raja Noor Jan Shah Tuah sebelum ini dikenali sering memberikan darjah kebesaran kepada beberapa individu termasuk aktivis, yang membolehkan mereka memakai gelaran 'Datuk'.
 
Kegiatan tersebut juga berlaku di Perak, apabila seorang individu mendakwa dirinya sebagai 'Maharaja Kinta' dan menggunakan gelaran 'Yang Mulia Dato' Seri Paduka Raja'.
 
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, sembilan Raja-Raja dan empat Yang Dipertua Negeri sahaja yang berhak memberi darjah kebesaran dan gelaran di negara ini.
 
 

Tiada ulasan: