DALIA ISMAIL
Umno
Selangor sedia membuka pintu kepada bekas menteri besar Selangor Dr
Mohd Khir Toyo untuk kembali aktif dalam politik di negeri itu.
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Mat Nazari Ahmad
Dahlan berkata, jika tidak bertentangan dengan perlembagaan parti tidak
menjadi halangan mana-mana bekas pemimpin Umno yang dipenjarakan untuk
bergiat aktif semula dalam parti.
“ Kita kena tengok perlembagaan parti terlebih dulu. Kita sudah tentu
tiada halangan jika perlembagaan membenarkan, tidak ada masalah untuk
menerima beliau dan aktif kembali di persada politik,” ujarnya.
Mengulas sama ada pemimpin Umno di negeri itu akan mengadakan
pertemuan dengan bekas Adun Sungai Panjang itu, dimaklumkan belum ada
perancangan dibuat sejak tersebar berita Mohd Khir diberikan parol oleh
Jabatan Penjara Malaysia semalam.
“Sebagai kawan, sahabat dan orang kampung kita, kita tidak seharusnya
mendendanya lagi. Kita sambut kepulangannya seperti manusia lain.
Sebelum ini kesalahan beliau terkait dengan kesalahan peribadi yang
dilakukan, ia sama sekali tidak terkait dengan Umno,” ujar Adun Batang
Kali ini menjawab pertanyaan Malaysia Dateline di lobi Dewan Undangan
Negeri hari ini.
Ditanya kemungkinan ada pihak yang akan mengaitkan parol Mohd Khir
dalam isu membabitkan banglo milik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng.
Mat Nazari berkata keputusan ahli lembaga parol memberikan kebebasan kepada Mohd Khir adalah dua perkara yang berbeza.
“ Ahli Lembaga Parol mempunyai autoriti dan justifikasi sendiri
mengapa mereka memberikan beliau parol selepas enam bulan dipenjarakan.
“ Kita tidak terkejut dengan parol yang diberikan kerana sudah tentu
akan ada pihak yang mengaitkan isu parol Mohd Khir ini dengan banglo Lim
Guan Eng kerana isunya lebih kurang sama, isu itu pula sedang hangat
didebatkan hari ini.” ujar beliau.
Mat Nazari juga menepis pandangan kemungkinan ada pihak yang akan
mendesak Mohd Khir untuk menyertai Deklarasi Rakyat yang diketuai Tun
Mahathir Mohamad. Ini kerana Mahathir ketika melantik Mohd Khir sebagai
Menteri Besar Selangor, pernah mengatakan bekas doktor gigi itu adalah
pemimpin muda yang bersih.
“Setakat ini kita tidak dengar lagi khabar angin, ada pihak atau
beliau akan bertindak sebegitu. Apa yang terjadi kepada beliau itu
antara beliau dan undang-undang bukan berkaitan parti.
"Kita tidak menghalang apapun keputusan beliau sama ada menyokong atau tidak deklarasi itu,” ujarnya.
Semalam, Ahli Lembaga Parol bersetuju meluluskan permohonan peguam
Mohd Khir untuk diberikan parol selepas beliau menjalani hukuman di
Penjara Kajang selama 6 bulan.
Banduan yang diberikan parol akan menjalani baki hukuman di luar
penjara di bawah pengawasan pegawai Parol untuk tinggal bersama
keluarga.
Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan media hari ini
menjelaskan, Mohd Khir bukan sahaja menerima parol, malah turut
mendapat remitan atau pelepasan hukuman penjara selama empat bulan. Mohd
Khir menerima remitan itu selepas jabatan berkenaan berpuashati dengan
tahap pemulihan beliau ketika menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Mohamad Khir sebelum ini disabitkan atas pertuduhan menyalah guna
kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah
banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007
untuk dirinya dan isteri.
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 bulan penjara sabitan
terhadap Mohamad Khir. Yang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman
rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 Shah Alam pada 29 Mei 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan