shahbudindotcom
Tidak
ada manusia yang normal yang tidak terkejut dan "garu kepala" dengan
kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed yang
mengatakan bahawa kata-kata Tun Mahathir Mohamad ingin melakukan
"sesuatu yang di luar jangkaan" untuk menjatuhkan Najib, boleh dianggap
sebagai menghasut.
Malah
jika bapanya, Allahyarham Mohamed Rahmat, bekas Menteri Penerangan dan
Setiausaha Agung UMNO masih hidup, pasti beliau juga turut terkejut
dengan apa yang diperkatakan oleh anak sulungnya itu.
Antara
lain Nur Jazlan berkata, bekas Perdana Menteri itu boleh dianggap
menghasut kerana mengeluarkan kenyataan mahu melakukan "sesuatu di luar
jangkaan" untuk menjatuhkan Najib.
"Dia (Tun Mahathir) bercakap perkara itu kepada umum. Tidakkah ia boleh dianggap sebagai menghasut? Khianat?
"Pihak polis sedang menyiasat. Lagi banyak Tun Mahathir bercakap, lagi banyak bahan untuk polis siasat.
"Jika siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka kita akan mengambil tindakan," kata beliau.
Kenapa
Nur Jazlan begitu takut dan sensitif dengan kata-kata "sesuatu di luar
jangkaan" itu, lebih-lebih lagi ia hanya diucapkan oleh seorang lelaki
yang sudah mencecah usia 91 tahun?
Apa yang "di luar jangkaan" yang mampu dilakukan oleh Tun Mahathir dengan usia sebegitu?
Atau adakah kata-kata itu diungkapkan oleh seorang kepala pengganas yang sudah banyak kali terbukti bahayanya kepada umum?
Memang
diketahui ramai bahawa Tun Mahathir ingin menjatuhkan Najib, tetapi
pernahkah beliau mengatakan mahu melakukannya dengan kekerasan, di luar
batas undang-undang atau langgar saja Perlembagaan negara?
Malah,
tidakkah Nur Jazlan sedar, dalam program NothingToHide di PWTC tidak
lama dulu misalnya, apabila diminta untuk menghentikan ucapannya, Tun
Mahathir langsung tidak membantah dan sedia akur dengan kehendak pihak
polis?
Bukankah itu sudah cukup untuk menunjukkan Tun Mahathir seorang yang patuh kepada undang-undang?
Jadi, kenapa begitu takut dengan sekadar kata-kata mahu melakukan "sesuatu di luar jangkaan?"
Dalam
hal ini, sebagai pemimpin muda yang mudah-mudahan tidak sama dengan
Ahmad Maslan, apakah Nur Jazlan tidak boleh memikir dengan logik akal
dan pertimbangannya yang sihat bahawa "sesuatu di luar jangkaan" yang
dimaksudkan oleh Tun Mahathir itu bukan saja dalam bentuk tindakan
politik yang aman, tetapi juga tetap tertakluk kepada undang-undang dan
Perlembagaan?
Apakah
"sesuatu di luar jangkaan" mesti berkaitan kekerasan atau mengganggu
keselamatan saja? Bukankah ia juga mungkin sesuatu yang bersifat aman?
Kenapa dengan mudah, malah hampir semua perkara mahu digertak dengan penggunaan kuasa polis, siasatan dan tangkapan?
Mengapa tidak sudah-sudah mahu mengampu dan menggembirakan hati Najib?
Belum cukup lagikah dedak jawatan Timbalan Menteri yang dinikmati sekarang?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan