Selasa, 29 Mac 2016

MT Umno selar Tun M, jangan lupa sokongan ahli ketika jadi PM

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad diberi amaran supaya tidak menghina ahli Umno dan mengingatkan beliau tentang sokongan mereka terhadap bekas Perdana Menteri itu.   
 
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan ia sebagai satu penghinaan besar kepada ahli Umno, berikutan kenyataan Tun M semalam di perhimpunan Muafakat Selamatkan Malaysia : Reformasi Institusi Bebaskan Anwar, Undur Najib di Ampang. 
 
"Janganlah menghina sampai begitu sekali, itu ahli Umno yang sokong dia dulu. 
 
"Saya ada waktu itu masa Tun M jadi Presiden Umno, jadi Perdana Menteri, kita ni apa? Bisukah? Makan dedakkah? Itu tak adil bila Tun M hina kita semua macam tu sekali, itu tidak betul," katanya ketika ditemui pemberita di lobi parlimen hari ini.
 
Beliau mempersoalkan atas teori apa Tun M mengukur ahli Umno untuk menuduh mereka berbuat sedemikian, sedangkan ia bukan seperti yang didakwa oleh bekas Presiden Umno itu.
 
"Tapi nak kata sama ada kita bercakap atau tidak, mana dia tahu? Takkan kita nak melalak tepi jalan tu? Kita bercakap, tapi pada tempat yang betul, dalam MT kita bercakap, kita bagi pandangan, nasihat, jadi nak ukur sama ada bisu atau tak bisu, hanya kerana kita tak ikut 'style' dia? 
 
"Buat demonstrasi jalanan macam dia? Itu baru kata tak bisu? Kalau cakap dalam dewan tu bisulah?" soalnya 
 
Semalam, Tun Mahathir berkata kebanyakan ahli dan pimpinan Umno yang ada pada hari ini sudah menjadi pekak, bisu dan buta. 
 
Sambil menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi banyak makan 'dedak' kepada kepada ahli Umno BN, ia membuatkan semua ahli parti itu takut untuk bersuara mengkritik kepimpinan Perdana Menteri.
 
Tambah Tajuddin lagi, kebanyakkan ahli parti menjalankan tanggungjawab masing-masing tetapi ia dilakukan secara berhemah dan bukan membuta-tuli seperti Tun M.
 
"Kita bersuara apa, dalam Perhimpunan Agung, kita tengok begitu lantangnya mereka, dengan kritikal, mereka akan memberi kritikan, nasihat, komen terhadap kepimpinan, komen terhadap kerajaan, kita tak bisu, itu tak betul. 
 
"Kita sedih perkara itu disebut dan datang dari seorang negarawan," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: