Khamis, 31 Mac 2016

BN gentar, guna undang-undang zalim sekat pendedahan skandal Najib

howard lee


Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Saat negara lain menuju ke arah proses pendemokrasian yang lebih jitu, kerajaan UMNO-Barisan Nasional cuba melawan arus dengan menggunakan pelbagai undang-undang untuk menakut-nakutkan rakyat dan mengekang kebebasan maklumat.

Ia terbukti apabila Kementerian Dalam Negeri berhasrat untuk mengambil tindakan terhadap dua wartawan Australia dari Four Corners, terbitan Australian Broadcasting Corporation (ABC) berhubung laporan kritikal ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seperti dilapor media.

Pengarah Biro Hal Ehwal Antarabangsa Sosialis Muda (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How, berkata tindakan kerajaan UMNO-BN cuba menyekat kebebasan maklumat itu sudah tidak relevan dan seolah-olah cuba menyongsangkan pembangunan tamadun.

“Kita kini hidup dalam zaman teknologi maklumat. Malah, negara-negara maju sudah mula menerima kebebasan maklumat sebagai salah satu hak rakyat. Namun, di sini ia berbeza dan melawan arus.

“Tindakan kerajaan itu seperti menyongsangkan pembangunan tamadun apabila kerap mahu mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang bersuara dan menyampaikan maklumat,” katanya kepada Roketkini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini bahawa kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap wartawan Four Corners, Linton Besser dan pengendali kamera, Eroglu Levent atas dokumentari yang membongkar skandal Najib bertajuk ‘State of Fear: Murder and Money in Malaysia‘ jika mereka kembali ke Malaysia.

Dua individu itu sebelum ini ditahan dan dihantar pulang semasa penggambaran awal dokumentari tersebut awal bulan ini kerana cuba menyoal Najib tentang skandal kewangan dan aliran tunai ke dalam akaunnya.

Howard yang juga Ketua DAPSY Perak merangkap Adun Pasir Pinji turut mempersoal niat sebenar kerajaan UMNO-BN apabila mahu mengekang kebebasan maklumat dan menutup mulut rakyat di negara ini dengan menggunakan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Apakah hasrat sebenar kerajaan apabila mereka menyekat akses rakyat terhadap maklumat? Adakah ia kerana rakyat sudah semakin celik dan dapat menilai mana baik atau buruk?

“Atau adakah supaya kerajaan dapat menutup mulut sesetengah pihak dari mendedahkan skandal-skandal melibatkan pemimpin kerajaan kepada umum?”

“DAPSY bersolidariti dengan mana-mana wartawan di dalam mahupun luar negara serta memohon supaya mereka terus memperjuangkan kebenaran walau digertak oleh sesiapa pun,” katanya.

Beliau mengumpamakan tindakan kerajaan itu ibarat peribahasa Cina yang berbunyi, “kertas tidak boleh membalut api” bermaksud kezaliman mungkin dapat memenjarakan pembawa kebenaran tetapi ia akan ditewaskan oleh kebenaran itu sendiri.

Katanya, rakyat diharap tidak mudah terpengaruh dengan dakyah UMNO-BN, termasuk yang dipaparkan di media cetak dan elektronik, termasuk TV3. yang sememangnya dikuasai oleh kerajaan UMNO-BN dan kroni mereka. – Roketkini.com


Tiada ulasan: