Selasa, 29 Mac 2016

Tiada rakyat Malaysia jadi penumpang, anak kapal EgyptAir

BERNAMA




Tiada rakyat Malaysia dikenal pasti menjadi penumpang atau anak kapal Penerbangan MS181 EgyptAir, yang dirampas awal hari ini.

Jurucakap Kementerian Luar Malaysia berkata perkara itu disahkan melalui pemeriksaan terhadap daftar muatan pesawat berkenaan.

"Menurut daftar muatan penerbangan, tiada rakyat Malaysia dikenal pasti setakat ini," katanya apabila dihubungi.

Pesawat Airbus MS181 itu dirampas ketika dalam penerbangan dari Iskandariah ke Kaherah.

Pesawat yang membawa 81 penumpang dan anak kapal itu dipaksa melencong ke Lapangan Terbang Larnaca di pantai selatan Cyprus.

Menurut kenyataan rasmi EgyptAir, seorang daripada penumpang, yang memakai tali pinggang bunuh diri, mengancam pegawai pemerintah, hanya dikenali sebagai 'Pilot Omar', dan memintanya melencongkan pesawat itu ke Cyprus.

Sementara itu, dalam tweet terbarunya, syarikat penerbangan berkenaan berkata rundingan dengan perampas membawa kepada pembebasan semua penumpang, kecuali anak kapal dan empat rakyat asing.


Tiada ulasan: