KUALA LUMPUR: PAS belum membuat sebarang keputusan untuk mengambil
tindakan terhadap dua pemimpinnya yang hadir pada himpunan Kongres
Rakyat 2016, Ahad lalu.
Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, walaupun PAS sebelum ini
menegaskan pendirian dengan jelas untuk tidak menyertai sebarang gerakan
menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Razak, namun ujarnya apa jua tindakan
terhadap Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Husam Musa, memerlukan
pertimbangan sewajarnya.
Kata Idris, beliau yakin kehadiran dua pemimpin itu ke himpunan anjuran
bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim adalah atas kapasiti individu tanpa
mewakili PAS.
"Dia sebagai rakyat, tidak mengapalah. Kita tidak sertai atas nama
parti, tindakan belum tentu ada perlu ada yang tidak perlu," katanya
kepada pemberita ketika sidang media di lobi parlimen.
Beliau dilihat enggan mengulas lebih panjang berhubung perkara itu
apabila diasak pemberita yang bertanyakan mengenai pendirian PAS yang
terlalu 'bertoleransi'.
Tambah Idris lagi, tindakan kedua-dua pemimpin yang cenderung kepada
Pakatan Harapan (PH) itu tidak menjejaskan parti oleh kerana ahli PAS
kini mencecah sejuta orang.
Mahfuz yang merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena dan Husam yang merupakan
ADUN Salor, seringkali mengambil pendirian yang tidak senada dengan
parti khususnya dalam isu membabitkan Najib.
Husam sebelum ini turut lantang mengkritik Presidennya Datuk Seri Abdul
Hadi Awang mengenai pendekatan yang diambil parti itu terhadap Najib.
Beliau turut mendedahkan rancangan presiden parti membaiki hubungan
dengan musuh tradisinya, Umno dan pelaksanaan undang-undang jenayah
Islam, hudud.
Mengulas mengenai kritikan Husam itu, Idris menyifatkannya sebagai 'pendekatan' peribadi Husam.
"Itu pendekatan dia tentang pimpinan.. kami ada pendekatan kami," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan