Sabtu, 5 Mac 2016

Tiga sayap kecam tindakan Tun Mahathir, ikrar setia kepada Najib

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin Umno yang sanggup berkongsi pentas dengan pembangkang demi mendesak pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak amat mengecewakan.
 
Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan Dr Mahathir bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkkan ia lebih bersandarkan matlamat peribadi. 
 
"Deklarasi itu membuktikan Dr Mahathir dan Muhyiddin mencabul semua prinsip ketika menjadi pemimpin dalam Umno sebelum ini," katanya dipetik Berita Harian.
 
Sementara itu Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula berkata penentuan siapa yang menerajui kerajaan tidak boleh dibuat dalam satu sidang media atau kempen menandatangani memorandum.
 
"Tindakan berkongsi pentas dengan pihak lawan sehingga mengenepikan pendirian amat mengecewakan dan menandakan politik 'matlamat menghalakan cara' yang wajar ditolak," katanya.
 
Ketua Puteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula kesal dan kecewa dengan 'gangguan' pihak tertentu terhadap pentadbiran najib yang dipilih secara demokrasi.
 
Ujarnya pertelingkahan sedemikian hanya akan merugikan negara dan rakyat sehingga menyebabkan 'yang menang jadi arang yang kalah jadi debu'. 
 
Dr Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz semalam menandatangani deklarasi rakyat bersama 55 pemimpin parti politik, aktivis dan masyarakat sivil lain bagi mendesak pengunduran Najib. 
 
Dalam sidang media di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya itu, Dr Mahathir mendahului kesemua mereka menandatangani deklarasi menolak pentadbiran Najib.
 
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal tidak hadir dalam sidang media tersebut semalam, namun menyatakan kesediaan untuk turut serta menandatangani deklarasi berkenaan. 
 
Deklarasi itu banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan Dr Mahathir terhadap Najib mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.  
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.