Isnin, 28 Mac 2016

Bekas tentera tuntut kenaikan pencen mahu jumpa Agong

Terence Tang  




NGO Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) akan menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara jika kementerian pertahanan tidak menghiraukan rayuannya yang menuntut penambahbaikan kebajikan pesara tentera.

"Sekiranya itu berlaku, kami akan kumpulkan tandatangan daripada setiap pesara tentera, polis dan bomba serta menghantar memorandum kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, dan raja-raja Melayu," kata presidennya Asri Buang pada sidang akhbar hari ini.

Menurutnya, cadangan utama Pahlawan adalah peningkatan kadar bayaran pencen kepada bekas anggota tentera selaras dengan kenaikan gaji anggota tentera semasa.

Asri mengulas mengenai pengumuman Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bulan lalu mengenai kenaikan gaji anggota tentera.

Hishammuddin pada 15 Februari lalu dilaporkan berkata RM58.89 juta diperuntukkan sebagai sebahagian daripada kenaikan gaji bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia bermula 1 Julai ini.

Beliau juga berkata veteran pasukan itu yang perkhidmatan mereka berakhir atau akan tamat pada 1 Januari 2013 hingga 30 Jun 2016, akan mendapat bayaran ‘one-off’ daripada dana RM56.62 juta yang diperuntukkan.

“Pencen kami untuk operasi 50an, 60an, 70an, 80an mestilah diselaraskan dengan kenaikan gaji askar baru.

“Kami mununtut hak berpatutan kami saja. Tentera yang besara termasuk prebet sehingga jeneral. Pencen tertinggi sekarang RM1600,” katanya.

Menurut Asri yang juga seorang veteran perang, Pahlawan mencadangkan agar jeneral bersara diberi pencen sebanyak RM3,500 sebulan, iaitu separuh daripada apa pendapatan yang diperolehi oleh jeneral yang masih dalam perkhidmatan.

“Pesara (tentera) dilabelkan 'miskin bandar' di bandar kecil dan 'miskin tegar' di ibukota KL, tahu tak?” soalnya.

Menurutnya, sama seperti tentera hari ini, bekas askar juga mengorbankan masa dan sentiasa berjauhan dari keluarga tercinta untuk melindungi negara daripada pengganas komunis.

Cadangan lain yang dikemukakan pada sidang akhbar hari ini adalah supaya kementerian pertahanan menyediakan sehingga RM6,000 sebagai pampasan tahunan kepada anggota yang telah bersara tetapi tidak memilih skim pencen.

Menurut undang-undang semasa, balu seorang pesara boleh menuntut pencen bulanan, bermula dari hari pembayaran pencen pertama suaminya, untuk tempoh 20 tahun.

Pahlawan juga berharap pesara tentera yang hilang keupayaan ketika perkhidmatan akan dapat menuntut bayaran ex-gratia, tanpa mengira tempoh perkhidmatan mereka.

“Kita buat ini untuk pihak beuniform, tak beruniform, yang berpencen dan tak berpencen.

“Semasa beroperasi, saya memang tak ada masa bersama keluarga. Apa yang terjadi kepada rakan-rakan kita yang cacat (akibat pertempuran demi negara)?

"Itu sahaja yang kami (Pahlawan) mahu," kata Asri lagi.

Tiada ulasan: