SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) Selangor menepis dakwaan kononnya
kepimpinan akar umbi Umno negeri itu dipaksa menandatangani deklarasi
menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Kita menafikan sekeras-kerasnya bahawa Cawangan Umno Teratai menolak
ataupun tidak bersama di dalam hasrat kerajaan atau Umno negeri menolak
deklarasi atau membuat deklarasi yang dimaksudkan," tegas Penyelaras
ADUN BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan.
Malah Mat Nadzari yang juga ADUN Batang Kali itu berkata Cawangan Umno Teratai juga tidak pernah wujud.
"Tidak ada cawangan itu, tidak wujud. Jadi, itu adalah bohong," katanya
kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor, pagi tadi.
Tegasnya juga, pimpinan parti tidak pernah mengambil pendekatan
sedemikian semata-mata mahu menonjolkan sokongan terhadap Najib.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan
Ketua Umno Cawangan Teratai, Hashim Abdul Karim seperti yang dilaporkan
sebuah portal hari ini.
Mat Nadzari dalam pada itu menegaskan Umno akan terus menyuburkan prinsip demokrasi di dalam parti.
Hal itu dipersetujui ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias ketika diajukan perkara yang sama.
"Beliau dipilih secara demokrasi, malah gerakan untuk menjatuhkan Najib
juga tidka melalui proses demokrasi. Dari dahulu pendirian kita
menentang gerakan atau desakan jalan untuk menjatuhkan seseorang
pemimpin," ujarnya.
Dalam laporan berkenaan, Hashim mendakwa cawangannya baru saja menerima
surat satu deklarasi yang disediakan oleh Umno Selangor.
Hashim juga berkata, difahamkan kira-kira 5,000 ketua cawangan di
seluruh Selangor telah menandatangani deklarasi itu sebagai menyokong
kepimpinan perdana menteri dan presiden parti.
Namun Hashim mendakwa bahawa ahli akar umbi cawangannya sebulat suara menolak deklarasi tersebut.
Hashim mendedahkan perkara itu ketika berucap dalam program santai dan
penerangan isu-isu semasa bersama Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd
Shafie Hj Apdal, di Kampung Bukit Lanchong, Laman Bistari, Shah Alam,
malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan