Pemimpin digesa bersatu untuk bertindak menyingkirkan
Najib Razak bagi membantu memulihkan kehidupan rakyat yang semakin
terhimpit.
SHAH ALAM: Pemimpin politik ternama di Malaysia perlu bersatu untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana rakyat sudah tidak lagi boleh bersabar dengan keadaan negara ketika ini.
Bekas menteri Kabinet, Datuk Zaid Ibrahim berkata, negara perlukan perubahan secara total terhadap sistem politik dengan dimulakan menyingkirkan Najib dan pemimpin lain yang bersekongkol dengan beliau daripada pentadbiran negara.
“Mereka mendakwa menentang rasuah, berjuang untuk Islam dan mengutamakan integriti sebaliknya mereka selesa dengan rasuah. Sebahagian besar rakyat kini hidup dalam kesukaran sedangkan pemimpin terus bergelumur rasuah,” katanya dalam ucapan pembukaan Kongres Rakyat yang dihadiri pemimpin ternama di sini, hari ini.
Kongres itu adalah kesinambungan Deklarasi Rakyat yang bertujuan menyingkirkan Najib.
Antara pemimpin politik yang hadir hari ini termasuklah Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu, Lim Kit Siang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Husam Musa, Tun Dr Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid dan pemimpin masyarakat sivil antaranyat Maria Chin Abdullah dan Datuk S Ambiga.
Zaid berkata, pemimpin yang datang pada program itu pernah berjasa dengan menjadikan negara ini dihormati dunia.
“Ramai pemimpin yang hadir hari ini adalah sebahagian daripada kisah kejayaan itu. Ramai antara kami adalah daripada generasi selepas merdeka, sama-sama berjuang untuk rakyat bawahan supaya mereka merasai sedikit kemakmuran dan keadilan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, imej negara kini teruk tercemar dengan skandal rasuah terutama melibatkan 1MDB dan pertukaran Peguam Negara dan salah guna Akta Rahsia Rasmi yang digunakan untuk merahsiakan kepincangan negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan