RAWANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan tidak menolak
kemungkinan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi antara punca
penurunan jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh
keputusan cemerlang (A+, A dan A-) pada tahun lalu berbanding tahun
sebelumnya.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak mengejutkan dan bukan satu
kebimbangan kerana pelajar hanya perlu membiasakan diri dengan perubahan
format soalan yang sebelum ini berteraskan elemen kemahiran berfikiran
secara kritis.
Katanya, perkara yang lebih utama bagi kementeriannya pada ketika ini
adalah untuk meneliti sekiranya terdapat faktor lain yang turut
menyumbang kepada penurunan itu.
"Kementerian perlu melaksanakan analisis bagi mengenalpasti adakah
terdapat mata pelajaran tertentu yang menyebabkan berlakunya penurunan
keseluruhan terhadap jumlah calon yang memperoleh keputusan cemerlang
serta Gred Purata Nasional (GPN) SPM.
"KBAT mungkin antara sebab tetapi ia tidak merisaukan kerana pelajar
hanya perlu sesuaikan diri dengan perubahan sistem dan dalam tempoh dua
hingga tiga tahun, kita akan berada dalam posisi yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat salah seorang
pelajar cemerlang SPM 2015, G Durga, 18, yang memperoleh keputusan 11A+,
di kediamannya di sini, hari ini.
Keputusan SPM yang diumumkan semalam mencatatkan seramai 9,721 calon
SPM 2015 atau 2.38 peratus berjaya memperoleh keputusan cemerlang (A+, A
dan A-), menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu 11,289 calon (2.63
peratus) memperoleh pencapaian yang sama.
Indeks GPN bagi SPM 2015 pula adalah 5.15, berkurangan sebanyak 0.07 berbanding 5.08 pada tahun 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan