Sabtu, 5 Mac 2016

KBAT mungkin punca penurunan calon cemerlang

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
RAWANG: Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan tidak menolak kemungkinan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi antara punca penurunan jumlah calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-) pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya. 
 
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak mengejutkan dan bukan satu kebimbangan kerana pelajar hanya perlu membiasakan diri dengan perubahan format soalan yang sebelum ini berteraskan elemen kemahiran berfikiran secara kritis. 
 
Katanya, perkara yang lebih utama bagi kementeriannya pada ketika ini adalah untuk meneliti sekiranya terdapat faktor lain yang turut menyumbang kepada penurunan itu. 
 
"Kementerian perlu melaksanakan analisis bagi mengenalpasti adakah terdapat mata pelajaran tertentu yang menyebabkan berlakunya penurunan keseluruhan terhadap jumlah calon yang memperoleh keputusan cemerlang serta Gred Purata Nasional (GPN) SPM.
 
"KBAT mungkin antara sebab tetapi ia tidak merisaukan kerana pelajar hanya perlu sesuaikan diri dengan perubahan sistem dan dalam tempoh dua hingga tiga tahun, kita akan berada dalam posisi yang baik," katanya. 
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat salah seorang pelajar cemerlang SPM 2015, G Durga, 18, yang memperoleh keputusan 11A+, di kediamannya di sini, hari ini. 
 
Keputusan SPM yang diumumkan semalam mencatatkan seramai 9,721 calon SPM 2015 atau 2.38 peratus berjaya memperoleh keputusan cemerlang (A+, A dan A-), menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu 11,289 calon (2.63 peratus) memperoleh pencapaian yang sama. 
 
Indeks GPN bagi SPM 2015 pula adalah 5.15, berkurangan sebanyak 0.07 berbanding 5.08 pada tahun 2014.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.