KUALA LUMPUR-  Skuad bola sepak remaja perempuan bawah 14 tahun (B-14) Malaysia mengalami kekalahan pertama apabila tumpas 3-5 kepada Vietnam pada perlawanan kedua Kumpulan B Kejohanan Serantau AFC B-14 Bagi Zon ASEAN 2015 di Padang YFTC di Hanoi, Vietnam semalam.


Penyerang Nguyen Thi Thu Hien muncul wira pasukan tuan rumah apabila menyempurnakan hatrik pada minit ke-15, 23 dan 25, manakala dua lagi gol Vietnam dijaringkan Nguyen Thi Thu Huong pada minit ke-2 dan Ngan Thi Van Su pada minit ke-20.

Tiga gol Malaysia dijaringkan oleh Nor Athirah Mamat pada minit ke-38, Alice Mic Michael (minit ke-61) dan Anis Aishah Asiati Raili, (minit ke-64).

Filipina yang tewas 0-3 kepada Vietnam pada perlawanan pembukaan Kumpulan B kelmarin, menghidupkan kembali peluang untuk mara ke separuh akhir apabila mengalahkan Singapura 3-1 semalam.

Malaysia perlu menewaskan Filipina, manakala Vietnam hanya memerlukan seri apabila menentang Singapura pada perlawanan terakhir pusingan awal, hari ini untuk melangkah ke peringkat separuh akhir Sabtu ini.

Sementara itu, juara bertahan Thailand meraih kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan A setelah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kemboja, hasil jaringan Anupha Noinueai pada minit ke-59.
Myanmar juga mencatat kemenangan kedua selepas menumpaskan Laos 4-1 pada satu lagi aksi Kumpulan A.

Kemenangan kedua berturut-turut oleh Thailand dan Myanmar itu menyaksikan kedua-dua pasukan hampir pasti menempah slot ke separuh akhir pada kejohanan tahunan itu.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas daripada Kumpulan A dan B mara ke perlawanan separuh akhir.