Isnin, 1 Jun 2015

Siapa pilihan Pemuda PAS - Suhaizan atau Nik Abduh?

MALAYSIAKINI


 


Pelbagai persoalan dan teka-teki yang melanda PAS sepanjang kempen menjelang pemilihan parti itu minggu ini akan mula terjawab apabila pemilihan kepimpinan baru Pemuda PAS berlangsung lusa.

Keputusan pemilihan itu akan menjawab persoalan sama ada para perwakilan mahu dewan itu terus dipimpin oleh golongan profesional yang diwakili oleh Suhaizan Kaiat.

Atau, ia bakal menyaksikan pertukaran kepimpinan ekoran keputusan ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Aziz - dari golongan pro-ulama - untuk menawarkan diri bertanding jawatan itu.

Dan keputusan pemilihan Pemuda PAS itu dilihat sebagai petanda kecenderungan sebenar perwakilan yang bakal membuat pemilihan pucuk pimpinan tertinggi parti, Khamis ini yang menyaksikan pertembungan antara dua golongan berkenaan.

Buat pertama kalinya - setelah sekian lamanya jawatan presiden PAS tidak pernah dicabar - kali ini ia bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara penyandangnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan bekas ahli Majlis Syura Ulama, Ahmad Awang.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden itu juga menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandangnya Mohamad Sabu yang berdepan calon ulama, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muktamar Dewan Pemuda PAS akan bermula esok bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di Shah Alam. Dan tidak jauh dari itu, akan berlangsung muktamar Dewan Muslimat pada hari berikutnya.

Persidangan muktamar kedua-dua dewan tersebut akan dirasmikan oleh Mohamad Sabu.

Lebih 700 perwakilan

Pada hari berikutnya (Rabu), lebih 700 perwakilan akan memilih barisan kepimpinan baru Dewan Pemuda. Proses pemilihan dijadual berlangsung pada sebelah pagi hingga tengahari.


Malaysiakini difahamkan, keputusan pemilihan Dewan Pemuda dijangka diumumkan pada sebelah petangnya.

Pemilihan barisan kepimpinan Dewan Muslimat dan juga Dewan Ulama juga akan berlangsung pada hari yang sama.


Tiada ulasan: