SHAH ALAM- Walaupun sudah genap setahun berlalu, kerja-kerja membina semula Sekolah Tahfiz Wa Ta’alim Al-Islamiyyah (MUTQAN) yang musnah akibat kebakaran masih tergendala kerana pihak pengurusan madrasah masih belum dapat mengutip dana yang mencukupi.


Buat masa ini, kos untuk pembinaan bangunan yang mencecah sehingga RM700,000 itu masih tidak dikumpul malah mereka mendakwa tidak mendapat perhatian dan bantuan dari mana-mana pihak yang bertangungjawab.

Menurut Pengetua sekolah tahfiz berkenaan, Muhammad Redhuwan Zaini, Jabatan agama Islam Selangor (JAIS) tidak dapat memberi bantuan kerana sekolah berkenaan belum mendapat pengiktirafan jabatan itu.

“Sebenarnya sebelum ini, kami telah menyiapkan borang dan menghantar kepada JAIS tetapi ia dipulang semula atas alasan maklumat yang dikehendaki tidak lengkap.

“Setelah bangunan sekolah disiapkan, pihak kami sekali lagi menghantar borang kepada JAIS namun tiada wakil yang datang menemui kami disini sehinggalah berlakunya kebakaran.

“Kami juga tidak dimaklumkan oleh JAIS kenapa borang itu dipulangkan, malah bila dihubungi tiada yang memberi respons. Kami cuma diberitahu pengiktirafan akan diberi jika bangunan sekolah dapat disiapkan,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Kini mereka di dalam dilema. Untuk mendapatkan bantuan, mereka perlu mendapatkan pengiktirafan dan untuk mendapatkan pengiktirafan JAIS itu mereka perlu ada bangunan sekolah, sedangkan bangunan tidak dapat dibina kerana mereka kekurangan dana.

Kerosakan yang teruk akibat kebakaran itu melibatkan asrama di mana pelajar-pelajar terpaksa tidur berhimpit di bilik yang sempit dan hanya beralaskan tilam untuk tidur. Malah, tenaga pengajar juga terpaksa tidur berhimpit bersama pelajar.

Selain asrama pelajar, pejabat pengurusan, bilik guru dan kantin turut musnah.

“Di dalam bilik sempit inilah para pelajar akan tidur, bersalin pakaian serta berbuka puasa dan juga sahur.

“Semasa berbuka puasa pula, kami perlu membayar pihak masjid untuk menyediakan juadah berbuka kepada pelajar, tetapi jika ada tajaan dari mana-mana pihak kami akan memberitahu pihak masjid untuk tidak memasak bagi menjimatkan kos pembelanjaan,” jelasnya.
madrasah2
Pelajar-pelajar membaca doa sebelum memulakan sesi persekolahan mereka setiap pagi. – Foto TRP/Azrol Ali
Ramai pelajar madrasah datang dari keluarga susah maka ada yang gagal membayar yuran bulanan tepat pada masanya dan bagi mengurangkan kos pembelanjaan, para pelajar terpaksa mengutip sumbangan orang ramai di masjid berhampiran.

“Pihak masjid banyak membantu dalam memberi sumbangan namun ianya masih tidak mencukupi, sebab itu pada setiap hari Jumaat para pelajar akan mengutip sumbangan di masjid-masjid sekitar kawasan.

“Bagi meringankan beban, pihak masjid melantik para pelajar menjadi imam dan bilal di masjid berhampiran dan mengutip sumbangan apabila selesai khutbah Jumaat bagi membolehkan mereka membayar yuran bulanan,” tambah beliau.
madrasah
Sesi pembelajaran dilakukan seperti biasa walaupun dalam serba kekurangan – Foto TRP/Azrol Ali
Beliau berkata bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan beban pelajar atau membantu membina sekolah mereka, bolehlah disalurkan terus kepada pihak masjid Al-Fallah atau melalui akaun masjid.

Bagi sesiapa yang ingin menderma bolehlah menghubungi Muhammad Redhuwan di 013-4749002 atau salurkan sumbangan ke pusat pendidikan Al-Fateh di akaun Maybank 560214058216