ALOR SETAR: Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Datuk
Phahrolrazi Mohd. Zawawi bersedia digugurkan keahliannya daripada PAS
ekoran tindakannya mahu menubuhkan sebuah parti baru bagi menggantikan
PAS dalam bagi membentuk Pakatan Rakyat Baru (PRB).
“Ini satu hakikat perlu diterima dalam kaedah dan keahlian parti
politik, hanya satu parti politik sahaja yang berlaku dalam satu-satu
ketika, jadi dia tidak boleh jadi dua parti politik.
“Jadi apabila ditubuhkan parti politik baru, jadi sudah tentu kita
menyertai parti baru sebab kita yang usahakan, jadi secara automatik
kita perlu meninggalkan parti lama,” katanya kepada Antarapos dalam satu
temubual eksklusif yang diadakan di sini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS yang
baru, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa mana-mana ahli PAS yang menubuhkan
atau menyertai parti baru akan gugur keahliannya serta merta.
Peruntukan itu jelas terkandung dalam perlembagaan PAS, jelas Takiyuddin kepada pemberita di Parlimen sebelum ini.
Phahrolrazi kemudiannya memberitahu, beliau sudahpun memikirkan perkara
itu sebelum mengumumkan kepada umum hasrat PasMa untuk menubuhkan parti
politik baru.
“Saya sudah pun meletakkan semua jawatan dalam PAS pada ketika saya
menubuhkan PasMa dan saya cuma ahli biasa sahaja sekarang dan cuma saya
masih jadi ADUN sahaja,” katanya.
“Sebelum ini saya YDP PAS Kedah, saya pernah memegang Timbalan
Pesuruhjaya PAS Kedah ketika allahyarham Ustaz Azizan menjadi
pesuruhjaya dan saya pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah pilihan raya
pusat, itu di antara yang saya pernah pegang.
“Terlebih dahulu juga saya pernah berada dalam Exco PAS Pusat ketika
saya berada dalam PAS sebelum usia saya mencapai 40 tahun,” katanya
lagi.
Phahrolrazi berkata PasMa perlu menubuhkan parti baru memandangkan
jalinan kerjasama antara PAS, PKR dan DAP kini semakin tidak relevan
kerana sering bercanggah pendapat berhubung isu-isu tertentu.
“Bagi saya pakatan rakyat lama sudah tidak relevan wujud dengan
berlakunya perbezaan di antara parti-parti komponen di antara DAP dan
PAS.
"Keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dan PAS
bertindak balik mengambil keputusan Muktamar memutuskan kerjasama dengan
DAP, jadi pada saya ia sudah tidak wujud pada ketika ini, jadi perlu
kepada PRB,” katanya.
Kemelut dalaman di antara PAS dan DAP semakin membarah apabila DAP
membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang tetapi kekal menjalinkan kerjasama dengan parti itu.
Pemimpin PAS bingkas mempertahankan Hadi dan berkata jik DAP memutuskan
hubungan dengan Hadi bermaksud putus hubungan dengan parti itu.
Memburukkan keadaan Dewan Ulama PAS pada muktamar tahunan parti itu minggu lalu meluluskan usul putus hubungan dengan DAP.
bagaimanapun ianya belum muktamad dan akan dibincangkan Majlis Syura Ulama kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan