KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal tampil
menjawab segala persoalan yang bermain di minda rakyat menerusi sesi
dialog terbuka bersama NGO pada 5 Jun ini.
Dialog bertema ‘Nothing To Hide’ itu akan dihadiri 1,500 wakil NGO
seluruh negara yang dianjurkan Sukarelawan Peguam (Sukaguam).
Pengerusi Sukaguam, Datuk Khairul Anwar Mamat berkata, program julung
kalinya itu menjadi platform kepada NGO dan rakyat bertanyakan pelbagai
isu semasa dan soal kepimpinan kepada Perdana Menteri.
“Sesi dialog ini memberi peluang dan ruang kepada NGO bertanyakan apa
jua soalan berkaitan isu yang timbul berkenaan kerajaan. Sebarang isu
termasuk soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pelaksanaan cukai
barang dan perkhidmatan (GST), isu Tabung Haji dan pelbagai lagi boleh
ditanya.
“Tiada halangan dan peluang ini membuktikan bahawa Perdana Menteri
sedia menjawab segala persoalan. Saya harap rakyat Malaysia menggunakan
ruang ini sebaiknya bertanyakan pelbagai isu,” katanya pada sidang media
di Pejabat Sukaguam, semalam.
Beliau berkata, Perdana Menteri telah mengesahkan kehadiran untuk bersama-sama pada sesi dialog itu sejak dua minggu lalu.
Katanya, 1,500 wakil NGO yang terpilih telah mengesahkan kehadiran dan sambutan diterima begitu menggalakkan.
“Kita hantar pada semua pihak, ada juga yang tidak mendapat jemputan, tetapi meminta untuk hadir pada program itu.
“Kita juga akan pertimbangkan layar skrin gergasi untuk orang ramai di luar dewan,” katanya.
Menurut Khairul Anwar sesi dialog bersama NGO memberikan peluang kepada
mereka menjelaskan perkara yang menjadi persoalan kepada ahli-ahli yang
dinaungi NGO ini.
“NGO terlibat bukan sahaja terhad kepada politik sahaja, malah NGO dalam pelbagai bidang.
“Mereka ini mempunyai ramai ahli dan secara tidak langsung mereka boleh jelaskan dan sebarkan input yang diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya permintaan begitu menggalakkan pada sesi
dialog ini, pihaknya berhasrat menjelajah setiap negeri untuk program
seterusnya.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan sama ada bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad dijemput hadir, Khairul berkata pihaknya tiada
halangan sekiranya Dr Mahathir berminat untuk hadir pada sesi dialog
itu.
“Ini adalah forum terbuka dan kalau Dr Mahathir berminat, beliau boleh datang,” katanya.
Sesi Dialog PM bersama NGO akan berlangsung dari 9 pagi hingga 1 petang
pada Jumaat ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan