Isnin, 1 Jun 2015

Mustafa: DAP gopoh, tak sabar, gelabah

MALAYSIAKINI


 


Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali hari ini membidas pimpinan tertinggi DAP kerana menyerang parti itu, termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Mustafa tindakan parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat itu seolah-olah mahu menggambarkan Malaysia perlu diselamatkan daripada pelaksanaan hukum hudud.

"Seolah-olah hudud itu satu malapetaka," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Musfata berkata siri serangan dan kritikan terbuka Setiasuaha Agung DAP Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang terhadap PAS mendapat liputan meluas dalam media.

Katanya, kritikan berkenaan menjurus terus kepada peribadi Abdul Hadi dan membayangkan kedudukan Pakatan Rakyat bergantung kepada keputusan muktamar PAS minggu ini.

"Kenyataan itu gopoh, tak sabar. Itu tak kena," katanya.

Beliau turut membidas Guan Eng memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi yang disifatkannya sebagai "gelabah".

"Saya nasihatkan beliau, cara itu tak kena. Cakap kasar, jangan gopoh. Ada perbezaan, kita selesaikan. Bab hudud, dah lama dah (mereka tak setuju)," kata Mustafa.

Kata Mustafa kempen Save Malaysia Government (Selamatkan Kerajaan Malaysia) oleh DAP juga dipertikaikan.

Katanya, orang ramai boleh bertanya kepada DAP, parti itu mahu menyelamatkan Malaysia daripada apa?

"Idea dia tak dapat sambutan, nak tutup malu daripada kenyataan yang dibuat. Gopoh sikit... Dia bertindak seperti political novice (orang baru dalam politik).

"Bukan nak memperkecilkannya (DAP), tapi saya rasa pelik," katanya dalam sidang medianya pagi ini. 


Tiada ulasan: