shahbudindotcom
Sebagaimana
telah menjadi bualan ramai sejak semalam, banyak tanda tanya timbul
jika benar Perdana Menteri, Najib Razak sudah ada keberanian memberi
kata dua kepada anggota kabinetnya agar meletakkan jawatan jika tidak
bersamanya dalam isu 1MDB.
Najib
dikatakan memberi kata dua itu sebaik Menteri Kewangan Kedua, Husni
Handzlah selesai membentangkan pelan hala tuju 1MDB dalam mesyuarat
kabinet, Jumaat lalu.
Dilaporkan
juga, tiada ada seorang pun anggota kabinet yang menyatakan pendirian
mereka tidak bersama Najib setelah diberi peluang berbuat demikian.
Bagaimanapun
tidak pula dilaporkan sama ada setiap anggota kabinet diminta bercakap
menyatakan pendirian masing-masing atau semua mereka hanya diam dan
tidak memberi respon terhadap kada dua Najib itu.
Jika
mereka diminta bercakap dan semua anggota kabinet menyatakan sokongan
mereka, maka barulah ia boleh dianggap pendirian rasmi ingin terus
bersama dengan Najib dalam kemelut 1MDB ini tetapi kiranya sekadar diam
dan tidak memberi respon terhadap kata dua itu, tafsirannya boleh jadi
berbagai.
Diam
atau tidak memberi respon mungkin disebabkan ada anggota kabinet
merasakan belum waktunya berbuat demikian, sedang menanti masa yang
sesuai, mahu menunggu maklumat lebih detail mengenai 1MDB dan pelbagai
lagi.
Atau mungkin juga ada yang beranggapan, "tak kuasa nak layanlah".
Selain
diketahui umum beberapa anggota kabinet tidak sebulu dengan Najib dalam
menangani isu 1MDB ini, bukan saja daripada UMNO, malah ada menteri MCA
yang mengatakan terdapat hal berkaitan syarikat pelaburan itu tidak
pernah dibincangkan dalam kabinet sebelum ini, mesyuarat kabinet Jumaat
lalu juga tidak dihadiri oleh beberapa menteri.
Antara menteri yang dikesan tidak hadir ialah Muhyiddin Yassin dan Ahmad Zahid Hamidi kerana kedua-duanya berada di luar negara.
Jadi,
kenapa Najib memberi kata dua itu ketika Muhyiddin terutamanya, tidak
hadir dalam mesyuarat? Mungkin ada baiknya jika beliau berani mengulangi
lagi kata dua itu ketika Muhyiddin hadir dalam mesyuarat kabinet akan
datang.
Kiranya
lebih berani, Najib juga seharusnya mengucapkan secara terbuka di
khalayak ramai meminta menteri yang tidak bersetuju dengannya agar
meletakkan jawatan sebagaimana yang dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum
pemilihan 1987 dulu.
Selain
itu, kenapa Najib tergesa-gesa memberi kata dua ini sedangkan Ketua
Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau PAC belum pun
habis melaksanakan kerja mereka?
Kenapa
tidak tunggu kedua-dua laporan itu disiapkan dahulu? Apakah dengan
memberi kata dua ini bermakna Najib yakin kedua-dua siasatan oleh Ketua
Audit Negara dan PAC bakal memihak kepadanya?
Tidakkah
sebelum ini Najib dan para pengampunya selalu meminta para pengkritik
1MDB agar bersabar menunggu laporan audit dan siasatan PAC?
Bagaimana
pula jika kedua-dua laporan itu nanti mendapati banyak yang tidak kena
dalam perjalanan harian, urusniaga dan pelaburan 1MDB itu?
Adakah
jika laporan itu tidak memihak kepadanya, Najib selaku Perdana Menteri
dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, sebagaimana termaktub dalam fasal
117 M & A syarikat pelaburan itu yang menghendakinya memberi
kebenaran bertulis atas sebarang urusniaganya, mahu meletakkan jawatan
secara sukarela pula?
Walaupun
ada yang berpendapat kata dua Najib itu menunjukkan beliau sudah tidak
boleh menahan sabar lagi dengan kritikan dan serangan Tun Mahathir
terhadapnya serta mahukan pasukan kabinetnya betul-betul padu di
belakangnya, ia sebenarnya belum tentu menjamin kemenangan berpihak
kepadanya.
Kata
dua ini mungkin merupakan tanda-tanda awal meletusnya perang yang lebih
besar dalam UMNO. Dalam hal ini Najib hanya dilihat ingin
mempertahankan kedudukannya sedangkan keyakinan ramai mengenai UMNO dan
BN mampu menang dalam pilihanraya akan datang semakin menipis hari demi
hari.
Ini
bermakna jika ada pemimpin UMNO atau anggota kabinet yang mula
bertindak berani memisahkan dirinya daripada menyokong Najib, habuan
menerima sokongan yang melimpah dari peringkat bawahan dan pertengahan
dalam UMNO sedang menunggu mereka.
Berdasarkan
klip video ucapan Muhyiddin di Janda Baik yang tersebar luas adalah
bukti nyata isu 1MDB ini tidak menggembirakan majoriti ahli UMNO dan
mereka yang berani menyanggah Najib akan menerima lautan sokongan dan
dianggap hero dalam menyelamatkan masa depan UMNO serta BN.
Najib
pula, dengan mula memberi kata dua, isyaratnya tidak lain ialah beliau
semakin terdesak dan kehilangan idea lain untuk menyelamatkan kerusi
Perdana Menteri dan Seri Perdana yang didiaminya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan