MALAYSIAKINI
Muktamar Dewan Ulama PAS sebulat suara mencadangkan kepada Majlis Syura
Ulama dan Jawatankuasa pusat PAS supaya membatalkan kerjasama dengan DAP
tetapi kekal bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat.
Usul tergempar oleh ahli jawatankuasa Dewan Ulama Mokhtar Senik dibuat
rentetan daripada serangan dahsyat DAP terhadap Presiden PAS Datuk Seri
Abdul Hadi Awang dan parti itu.
"DAP dengan lantang menggugat kedudukan PAS dan presiden dengan
mengisytiharkan memutuskan hubungan dengan presiden yang menjadi ayah
kita dalam PAS.
"Kita tidak sanggup menyerahkan presiden kita dinodai parti rakan DAP.
Keberanian DAP itu disebabkan setengah kita tidak memberi walak kepada
presiden.
"Mereka masuk dalam rumah kita, cuba ganti ayah dalam rumah kita. Sikap
DAP seolah-olah dia memimpin PAS dan cuba mengawal PAS, seolah-olah PAS
tidak ada presiden," katanya.
Beliau mendakwa DAP cuba melakukan pencerobohan dalam PAS dengan cuba
mengawal muktamar PAS dengan menghantar isyarat jika hendak mengukuhkan
PAS dalam Pakatan, maka hendaklah mengekalkan kepimpinan pro-Pakatan.
"Jadi kita usulkan, putuskan hubungan dengan DAP tapi bukan dengan PKR dan Pakatan.
"Kita mahu menghantar isyarat bahawa parti Islam ini ada dasar dan prinsip," katanya.
Kemudian, Perwakilan Dewan Ulama Perak, Nor Azli Musa bangun untuk
membahaskan usul tergempar itu dengan menyeru semua perwakilan bangunan
sebagai tanda sokongan kepada usul tersebut.
Semua perwakilan yang hadir bangun dan mengucapkan takbir beberapa kali
sehingga bergema di dewan Datuk Fadzil Monhd Noor di Taman Melewar,
Gombak.
Usul itu kemudiannya diisytihar diterima sebulat suara oleh pengerusi tetap.
Selepas itu, perwakilan Kelantan Hassan Mahmood bangun mahu cadangan itu
dipinda sedikit supaya Majlis Syura mengkaji kedudukan PAS dalam
Pakatan dari sudut maslahah dan politik sebelum membuat keputusan itu.
Bagaimanapun Nor Azli kemudiannya bangun semula membantah syor Hassan memandangkan usul itu telah diterima sebulat suara.
Pengerusi tetap memutuskan cadangan memutus hubungan DAP dikekalkan tanpa pindaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan