MALAYSIAKINI
Anggota Dewan Undangan Negeri Pelagus, George Anak Lagong berada dalam
keadaan kritikal namun stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu
selepas terbabit dalam kemalangan di Sebangkoi, kira-kira 10 kilometer
dari pekan Sarikei petang semalam.
Menurut Nelson Janting, adik iparnya, George, 55, yang ditemani
isterinya Sumi Janting, 50, dan dua anak lelaki mereka dipercayai hilang
kawalan ke atas kenderaan pacuan empat rodanya dan terjatuh ke dalam
jurang.
"George mengalami kecederaan kepala yang serius sementara isteri dan
seorang anaknya cedera ringan. Seorang lagi anaknya tidak cedera tetapi
terkejut dengan kejadian itu," katanya.
Beliau berkata George dihantar ke hospital dengan ambulans dan beliau
menjalani pembedahan selama empat jam. Sumi dan anaknya pula dirawat di
Hospital Sarikei.
Nelson berkata George dan keluarganya dalam perjalanan dari Kuching
menuju Bintulu bagi menyertai majlis pertemuan Hari Gawai dengan
keluarganya.
George menang kerusi Pelagus atas tiket Bebas pada pilihan raya negeri pada 2011.
Beliau kemudian menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) sebelum menyertai
parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) iaitu parti rakan BN, tetapi
kemudian meninggalkannya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan