Rabu, 4 Mac 2015

Pengawal maut ditetak


Pengawal maut ditetak Jenazah Allahyarham Yasim dibawa turun dari kenderaan untuk disemadikan, semalam.
 
 
BANTING – Perebutan kawasan kawalan keselamatan menjadi punca seorang pengawal tapak pembinaan maut  ditetak  di  Bukit Kemandul , Teluk Panglima Garang, di sini, semalam.

Mangsa Yasim Ghazali, 51, maut di lokasi kejadian selepas parah diserang sekumpulan lelaki ketika bertugas melakukan rondaan di kawasan tapak pembinaan berkenaan kira-kira jam 3.15 pagi.

Difahamkan ketika kejadian mangsa bekerja syif malam bersama seorang lagi rakannya, namun rakan sekerjanya itu sempat melarikan diri selepas melihat sekumpulan lelaki menaiki tiga kereta turun dengan membawa senjata seperti parang.

Rakan arwah yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan  kecemasan daripada rakan sekerjanya yang memberitahu mereka diserang.

Menurutnya,  ketika orang kampung  tiba, mangsa sudah tidak bergerak, kepala dan badannya berlumuran darah dan  penuh dengan kesan tetakan.

Dia yang mengenali dengan mangsa sejak dari kecil memberitahu, mangsa seorang yang periang dan  tidak mempunyai musuh selain  tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum kejadian.

“Arwah peramah dan baik dengan semua orang, kehilangannya amat dirasai terutama rakan yang rapat dengannya,” katanya.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia kemudian dibawa  ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Sementara itu, adik mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Milah, 46, berkata,  kali terakhir dia bertemu abangnya  kira-kira jam 7 pagi kelmarin.

“Beberapa hari sebelum kejadian dia ada pesan  pada anak kedua saya  supaya jaga adik-beradik yang lain baik-baik sebab dia nak tinggalkan kampung.

“Mula-mula ingat dia bergurau, tak sangka dia akan tinggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui selepas selesai pengebumian  di Tanah Perkuburan Batu 9, Kampung Medan, di sini.

Menurutnya, abangnya yang tidak pernah berkahwin itu sempat membelikan anak saudaranya air milo bungkus sebelum keluar bekerja.

“Dia antara adik-beradik yang boleh diharap dan banyak membantu keluarga terutama menjaga ibu yang  uzur, kami berharap mereka yang bertanggungjawab dapat diberkas dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Sumber Jabatan Forensik Hospital Banting mengesahkan bahagian kanan dan belakang kepala mangsa cedera akibat hentakan objek tumpul manakala terdapat 20 kesan tetakan  di bahagian belakang mangsa

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Suprintendan  Azman Abdul Razak mengesahkan insiden terbabit mempunyai kaitan dengan perebutan kawasan kawalan keselamatan.

“Empat lelaki telah ditahan sekitar daerah ini  bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Azman berkata, pihaknya menolak sebarang unsur perkauman dan minta orang ramai tidak memanipulasi kes terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku

Tiada ulasan: