Pemandu teksi mendesak pengumuman kenaikan harga tambang dikekalkan.
KUALA LUMPUR - [KEMASKINI] Kira-kira 37,000 pemandu teksi di seluruh Lembah Klang akan melancarkan mogok sekiranya kadar tambang baharu yang diumum Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD) ditangguh dan dibatal Kabinet.
Pengerusi Badan Bertindak Pemandu Teksi Bermeter (BBPTB), Amran Jan berkata, pemandu teksi berdaftar menyokong apa yang diumum sebagai sesuatu relevan dan membantu peningkatan taraf hidup golongan itu keseluruhannya.
Katanya, seluruh pemandu teksi akan meneruskan kadar tambang baharu itu selagi tidak diumum ditangguh atau batal.
Namun, jika SPAD akur dengan arahan Kabinet, pihaknya akan menganjur himpunan pemandu teksi untuk nyatakan pendirian terhadap isu itu.
Katanya, jika Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar ada menerima tekanan dengan tindakan diambil, pemandu teksi akan berdiri teguh di belakang beliau.
“Itu hak kami (kenaikan tambang teksi), dah beri jangan tarik balik. Kami tidak akan layan bantahan mana-mana pihak,” katanya ketika berhimpun bersama kira-kira 100 pemandu teksi sekitar Lembah Klang di Jalan Cochrane, semalam.
Amran berkata, antara 40 hingga 50 peratus ahli daripada 22 persatuan bernaung bawah BBPTB sudah menukar meter baharu dan menanggung kos sehingga RM161.
Sekiranya ditangguh, pihaknya mempersoalkan siapa yang tanggung kos terbabit, kelak.
“Kami dah tunggu sejak enam tahun lalu, sebelum ni dah tiga kali tertangguh dan terpaksa menanggung peningkatan kos penyelenggaraan teksi sehingga 45 peratus,” katanya.
Amran menolak alasan diberi kerajaan yang mengatakan SPAD tidak berbincang dengan kementerian terlebih dahulu.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) Kamarudin Mohd Hussain, percaya kenaikan kadar tambang diumum pada 19 Mac lalu susulan penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, ia perlu kerana kadar sama kekal sejak 2009.
“Pemandu teksi tidak dapat 100 peratus faedah pun daripada kenaikan tambang yang diumum, hampir 75 hingga 85 peratus daripada jumlah akan dipotong untuk pihak syarikat, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan syarikat insurans,” katanya.
Sementara itu, semalam akhbar melaporkan Kabinet meminta SPAD menangguhkan kenaikan kadar tambang baharu pengangkutan awam seperti diumum, tiga hari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan