Khamis, 5 Mac 2015

Mufti Perlis kesal surat rasminya 'tolak' Ustaz Kazim disebar di internet

 Oleh Nur Shakira Buang

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Asri Zainul Abidin menegaskan surat rasmi yang ditandatanganinya tidak seharusnya disebarkan kepada umum, sekaligus menimbulkan spekulasi mengenai penceramah bebas terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elyas.
 
Pejabatnya sebelum ini menghantar surat kepada pejabat Menteri Besar Perlis sebagai respon jemputan kerajaan negeri itu kepada Ustaz Kazim untuk menjadi panel pada Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis ke-72 dan Ulang Tahun ke- 69 RTM.
 
Surat itu menyebut pejabat mufti negeri tidak bersetuju dengan jemputan itu kerana ustaz berkenaan sering menggunakan riwayat-riwayat palsu ketika berceramah.
 
"Surat tersebut menyatakan pihak Jabatan Mufti tidak bersetuju pemilihan panel tertentu atas alasan riwayat-riwayat palsu yang pernah disebarkan. Ini selaras dengan kehendak keilmuan dan masyarakat sendiri untuk memastikan kesahihan riwayat.
 
"Surat itu TIDAK menyebut penceramah berkenaan dihalang berceramah di Perlis tetapi menyatakan tidak bersetuju untuk menjadi panel forum berkenaan," ujarnya di laman sosial Facebooknya, hari ini.
 
Sementelah isu itu tersebar diinternet, Dr Asri yang baru dilantik semula sebagai mufti Perlis awal Februari lalu turut melampirkan contoh riwayat palsu yang didakwa digunakan Ustaz Kazim. 
 
 
Mengulas lanjut Dr Asri berkata respon yang dibuatnya bersabit pemilihan Ustaz Kazim sebagai panel forum itu dibuat selaras de‎ngan kehendak dan keilmuan masyarakat sendiri untuk memastikan kesahihan tersebut.
 
Ternyata, sebelum isu ini disentuh Dr Asri, Ustaz Kazim terlebih dahulu menjawabnya pada 21 Julai 2014.
 
Ustaz Kazim berkata beliau tidak bermaksud memberi contoh Nabi Muhammad S.A.W melakukan kenduri paling mahal dengan menyediakan roti jala yang dicelup dengan kuah kari seperti yang dipaparkan dalam sebuah buku dan juga rakaman ceramah yang tersebar.
 
Menurutnya, sebenarnya mengikut sejarah, Nabi pernah menyediakan roti yang dicicah dengan kuah kambing dan bagi mengikut sunah Rasulullah, masyarakat zaman ini boleh menyediakan roti jala dicelup dengan kuah kari kepada tetamu yang hadir.
 
"Saya tahu ramai yang mempertikaikan tentang perkara itu. Takkanlah saya bodoh nak cakap Rasulullah beri makan roti jala kepada tetamunya. Zaman itu ada ke roti jala?
 
"Ia sebenarnya hanyalah satu contoh di mana jika Rasulullah menyediakan roti dengan kuah kambing, apa salahnya kita sediakan roti jala dengan kuah kari. Tetapi ramai yang salah faham," katanya kepada mStar Online, tahun lalu.
 
Pada tahun lalu, sebuah buku berjudul Tuhan Sedang Menguji Kita yang memetik ceramah-ceramah Ustaz Kazim telah diterbitkan di bawah penerbitan Karangkraf.
 
Rakaman video ceramah mengenai topik itu juga turut dirakamkan dan disiarkan menerusi YouTube sehingga menimbulkan komen-komen negatif masyarakat.
 
Ramai yang memberi reaksi bahawa Ustaz Kazim telah menyampaikan informasi salah dan ia boleh menjejaskan akidah masyarakat yang mengikuti ceramah-ceramahnya.
 
Dalam pada itu, Ustaz Kazim berkata, sebelum buku tersebut diterbitkan, dia telah membuat beberapa pembetulan termasuklah bahagian isu roti jala yang ditulis, namun dia tak pasti sama ada ia telah diperbetulkan atau tidak.

Tiada ulasan: