Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
PETALING JAYA:
Penemuan dokumen mengenai dua banduan dari India untuk dipenjarakan di
Pulau Pinang pada Mac 1790 membongkar sejarah sebenar penjara moden di
Malaysia.
Ini secara rasmi membawa kepada penetapan Hari Penjara yang kini berusia 225 tahun berbanding 208 tahun sebelum penemuan itu.
Hasil kajian ini
merupakan kerjasama antara Jabatan Penjara dan penyelidik daripada Pusat
Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pakar Sejarah UKM,
Dr. Mohd Samsudin berkata, beliau sebenarnya diminta untuk membuat
sejarah penjara secara keseluruhan tetapi selepas meneliti beberapa
dokumen mendapati sejarah penjara moden sebenarnya lebih awal.
Beliau berkata,
kajian itu melihat dari segi bila ia bermula dan siapa banduannya, yang
akhirnya membawa kepada penemuan baharu dalam sejarah penjara moden di
negara ini.
Menurut
kajian yang dinamakan ‘Sejarah Penjara Moden di Malaysia’, Dr. Mohd
menjelaskan bahawa Pulau Pinang diambil oleh pihak British daripada
kerajaan Kesultanan Kedah pada 11 Ogos 1786.
Gabenor Jeneral India
warga British, Charles Cornwallis mencadangkan supaya banduan di India
yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dihantar ke Pulau Pinang.
Dr. Mohd berkara,
beliau meneliti dokumen-dokumen mengenai pembukaan Pulau Pinang oleh
pengasas kolonial British, Francis Light yang sebenarnya juga mula
menubuhkan sistem penjara di Tanah Melayu ketika itu.
“Dokumen-dokumen lain
seperti sejarah pemerintahan British di India pada 1780-an di mana
banduan-banduan India dihantar keluar ke Bengkulu, Sumatera di Indonesia
dan Pulau Pinang.
“Kumpulan pertama
banduan yang dihantar ke Pulau Pinang adalah Eyeno Deen Sheikdan
(Ainuddin Sheidan) dan Mohamed Heiant yang ditempatkan di Kota
Cornwallis, Pulau Pinang pada Mac 1790,” katanya dalam temuramah bersama
mStar Online.
Menurut kajian itu,
Pulau Pinang dijadikan ‘Penal Settlement’ apabila 700 banduan dari
Kepulauan Andaman di India dipindahkan ke pulau itu pada 1791.
‘Penal Settlement’
merupakan undang-undang yang menjadikan sesebuah pulau sebagai tempat
buangan (pada kebiasaannya diletakkan di pulau yang menyukarkan banduan
untuk lari).
Askar India yang
dikenali sebagai ‘sipahi’ pada zaman penjajahan dahulu dihantar oleh
pihak British untuk menjalankan tugas mengawal banduan di Pulau Pinang.
Dr. Mohd yang juga
merupakan Pengarah Muzium Warisan Akademik UKM berkata, dua banduan itu
bukan sahaja menjalani hukuman penjara semata-mata tetapi turut
digunakan sebagai buruh bagi membina infrastruktur dan membantu kegiatan
ekonomi.
Katanya, pada
peringkat awal banduan-banduan yang ditempatkan di Kota Cornwallis di
dalam penjara yang diperbuat daripada batang nibong.
“Kemudiannya pada
awal 1800, Penjara Cornwallis didirikan menggunakan konkrit, batu-bata
dan keluli,” katanya sambil menambah nama Penjara Cornwallis sempena
Charles Cornwallis.
Mengenai
proses kajian, Dr. Mohd berkata, ia dilakukan selama kira-kira lima
bulan bermula April 2014 kerana penyelidikan tersebut turut melibatkan
sejarah penjara secara keseluruhan.
“Antara
bahan dan dokumen dalam kajian ini diperoleh daripada Arkib Negara
terutama tentang aktiviti di penjara selain membuat lawatan ke beberapa
penjara. Saya juga membaca diari-diari yang ditulis oleh para pegawai
semasa pentadbiran negeri-negeri Selat,” katanya yang berkhidmat di UKM
sejak 1988 dan mempunyai kepakaran dalam sejarah Malaysia, sejarah
diplomatik, warisan dan pemuliharaan.
Dr. Mohd turut
menghasilkan lebih 15 buku dan jurnal berkaitan sejarah selain melakukan
banyak penyelidikan dan menjadi pakar rujuk sejarah, antaranya untuk
Jabatan Arkib Negara.
Sementara itu,
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional),
Datuk Hassan Sakimon berkata, berdasarkan hasil kajian, satu
pembentangan dibuat menerusi seminar khas ‘Sejarah Penubuhan Penjara
Malaysia’ diadakan di UKM pada 16 Oktober 2014.
Menurutnya,
pembentangan itu dipersetujui oleh pakar-pakar sejarah dan Jabatan
Penjara secara rasminya menetapkan Mac sebagai sambutan Hari Penjara
bermula tahun ini.
"Jabatan Penjara
menetapkan 19 Mac sebagai tarikh yang sesuai untuk tujuan sambutan Hari
Penjara berbanding Oktober yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini,”
katanya.
Hassan
berkata, pembuktian pakar sejarah sebagai tarikh bermulanya penjara
moden di Malaysia menjadikan asas lebih kukuh ke arah pembentukan
penjara sebagai agensi koreksional.
“Ini merupakan satu
anugerah di luar jangka yang membuatkan warga Jabatan Penjara memberi
komitmen tinggi dalam memastikan hala tuju jabatan sebagai institusi
koreksional lebih efisen,” katanya sambil menambah jabatan itu mempunyai
kira-kira 16,000 kakitangan di seluruh negara.
Susulan daripada
penemuan baharu itu, Hassan berkata, Jabatan Penjara buat pertama
kalinya menyambut ulang tahun sempena Hari Penjara Ke-225 pada 19 Mac
ini (esok).
Sambutan itu akan
diadakan di Pusat Latihan Pegawai Penjara Malaysia (Pulapen), Taiping
dan bakal dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
“Tema Hari Penjara
ke-225 adalah ‘Peneraju Perkhidmatan Korektif’ yang membawa pengertian
tentang pentingnya fungsi Jabatan Penjara sebagai institusi pemulihan
insan yang efektif dan berkembang selaras dengan perubahan semasa,”
katanya.
Jabatan Penjara turut
mengalu-alukan kehadiran orang ramai pada sambutan Hari Penjara yang
akan menyaksikan Majlis Tamat Latihan Kursus Sijil Asas Pengurusan
Penjara melibatkan seramai 262 pelatih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan