Khamis, 19 Mac 2015

Anak aktivis berikrar berjuang untuk Abah

MALAYSIAKINI




 
 
 
Melihat ayahnya, seorang aktivis, dibawa ke penjara semalam, telah mencetuskan api perjuangan dalam jiwa seorang anak yang berusia 14 tahun, Asiah Latif (bawah, kanan).
 
"Ia begitu pelik bagaimana dia dalam penjara kerana dia berjuang untuk keadilan. Saya tidak akan berhenti berjuang untuk apa yang betul. Saya sayang Abah," kata Asiah dalam posting dalam bahasa Inggeris di Facebook.
 
Bapa Asiah, Bad Latif Mansor adalah antara 13 orang yang dihantar menjalani hukuman penjara selama 10 bulan mulai semalam, apabila Mahkamah Rayuan mendapati mereka bersalah menyertai perhimpunan haram.
 
Mereka juga dikenakan denda RM5,000 setiap seorang kerana menyertai demonstrasi membantah angkat sumpah Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dari BN sebagai menteri besar Perak dalam satu rampasan kuasa politik di negeri ini pada tahun 2009.
 
Ibunya, Nashita Md Noor dalam satu lagi posting di Facebook berkata keluarganya akan tetap kuatkan diri.
 
"Akhirnya dia tidak kembali bersama kami [...] InsyaAllah, kami kuat. Alhamdulillah."
 
Selain Bad Latif, yang lainnya yang turut dibawa penjara ialah Suhana Abdullah, 50; Mohd Faiz Mohd Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd Hasri Ismail, 49; Mohamed Ismail S M Abdul Kadir, 48; Idris Mohd Thaib, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; dan Yusuf Jaafar, 49.
 
Terdahulu, Lawyers for Liberty mengkritik apa yang ia dilihatnya sebagai 'double standard' dalam pemenjaraan 13 peserta demonstras tersebut.
 
Pengarah Eksekutif NGO itu, Eric Paulsen berkata hukumannya berbeza sama sekali dengan hukuman ke atas 15 orang yang menceroboh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tahun lepas.
 
Katanya, hukuman terhadap 13 orang itu semalam keras, berbanding dengan denda RM1,500 yang dikenakan ke atas 15 orang yang menyerbu DUN Pulau Pinang tahun lepas, mengancam penghuninya dan juga merosakkan harta benda.
 
Lima belas lelaki di Pulau Pinang itu marah dengan ADUN Seri Delima RSN Rayer yang memanggil Umno "celaka" dan menuntutnya menunjukkan dirinya.
 
Dalam kes di Perak, kata Paulsen dalam satu kenyataan semalam, Mahkamah Rayuan sepatutnya mengambil kira "keadaan peringan" berhubung protes tersebut.
 
Katanya, ia secara umumnya aman dan bertujuan untuk mencegah rampasan kuasa yang amat kontroversi terhadap kerajaan yang dipilih secara sah, Pakatan Rakyat Perak.
    
Paulsen menggesa mahkamah melindungi perlembagaan persekutuan dan menegakkan kebebasan asasi.
 
 

Tiada ulasan: