Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Tiada bukti Teresa Kok melarang
penggunaan pembesar suara di masjid dan mahu menghapuskan tulisan Jawi
di papan tanda di seluruh Kuala Lumpur, Mahkamah Tinggi diberitahu hari
ini.
Peguam Ahli Parlimen Seputeh itu, Sankara Nair berkata,
penahanan anak guamnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas
tuduhan cuba mencetus ketegangan kaum sama sekali tidak benar, tidak
berasas dan tidak munasabah sama sekali.
“Tiada bukti mengenai alasan dikemukakan kononnya Teresa
menentang ejaan jawi di papan tanda jalan seluruh Kuala Lumpur dan
melarang penggunaan pembesar suara di masjid,” kata Sankara ketika
ditemui.
Sankara menjelaskan, tiada sebarang laporan polis dibuat
dalam isu ejaan jawi dan pegawai masjid juga telah memberi keterangan
Mei lalu bahawa Teresa tidak pernah melarang penggunaan pembesar suara .
“Oleh itu sekali lagi saya nyatakan, dakwaan keatasnya
adalah tidak benar dan beliau langsung tidak menjejaskan keselamatan
negara,” tegasnya.
Mahkamah Tinggi hari ini mengambil keputusan menangguhkan
keputusan saman Teresa terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Syed Hamid Albar kepada 22 Disember 2014.
Teresa sebelum ini pada 13 Mac 2009 mengemukakan saman
terhadap Syed Hamid kerana menahan dan menangkapnya secara salah di
bawah ISA pada tahun 2008.
Selain Syed Hamid, beliau juga menamakan bekas Ketua Polis
Negara Tan Sri Musa Hasaan, DSP E Kim Tien dan Kerajaan Persekutuan
sebagai defendan.
Dalam tuntutan saman itu, Teresa menyatakan pada jam 11.15
malam, 12 September 2008 pihak polis menangkapnya di pintu masuk
kediamannya di Pearl Tower OG Heights secara paksa dan memberhaya.
Beliau kemudiannya dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju dan
ditahan selama lebih dua jam tanpa diberi kebenaran untuk menghubungi
saudara terdekat atau peguam.
Selanjutnya, Naib Pengerusi DAP memaklumkan beliau dihantar
ke sebuah tempat tahanan rahsia sehingga 19 September tahun sama tanpa
dibicarakan.
Tegas Teresa , penahanan tersebut dibuat dengan alasan
tidak munasabah dan sesuka hati oleh defendan yang menyebabkannya
mengalami tekanan mental, kesakitan dan keracunan makanan. –
Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan