SINGAPURA: Dua rakyat Malaysia ditahan kerana cuba menyeludup dua
bungkusan heroin seberat 950 gram dengan menaiki sebuah motosikal dengan
nombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Woodlands, semalam.
Dalam operasi oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, pegawai CNB
menemui dadah itu disorok di ruang khas tempat duduk pembonceng ketika
melakukan pemeriksaan ke atas dua lelaki itu.
Penunggang berusia 26 tahun dan pembonceng berusia 37 tahun itu dikatakan sedang perjalanan ke republik itu.
CNB, dalam kenyataan hari ini, menyatakan bekalan dadah yang dirampas
itu boleh menampung keperluan 480 penagih selama seminggu.
Tangkapan dua rakyat Malaysia di pusat pemeriksaan berkenaan adalah
sebahagian daripada operasi oleh CNB di seluruh negara itu yang
dilakukan dari Isnin hingga Jumaat.
Dalam operasi itu, 101 suspek lain turut ditahan dan pelbagai jenis
dadah bernilai S$85,000 dirampas termasuk satu kilogram heroin, 18 gram
ice, sembilan pil Erimin-5, 25 pil ecstasy, 290 gram ganja dan sejumlah
kecil dadah jenis ketamine.
Operasi CNB itu turut disertai oleh pihak berkuasa Imigresen dan Pusat
Pemeriksaan Singapura (ICA), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura
(SCDF).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan