Roketkini.com
KOTA KINABALU: Pakatan Rakyat Sabah hari ini membuat
laporan polis berhubung penglibatan kerajaan dalam ‘Projek IC’ (kad
pengenalan) kepada Pendatang Tanpa Izin (PATI) di negeri ini.
Laporan polis dibuat Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, Ketua
Pembangkang DUN negeri Datuk Seri Lajim Ukin dan Pesuruhjaya PAS negeri
Mohd Aminuddin Aling di Ibu Pejabat Polis Karamungsing, Kota Kinabalu
jam 11.30 pagi tadi.
Laporan dibuat bertujuan menuntut siasatan lanjut terhadap
pendedahan lima orang bekas kakitangan kerajaan yang mengakui bahawa
kerajaan telah memberikan IC kepada PATI di Sabah.
Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang
dibentangkan 3 Disember lalu, dinyatakan tidak ada penglibatan parti
mahupun motif politik dalam Projek IC.
Malah laporan itu sekadar menyalahkan sindiket didakwa
melibatan bekas Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan gejala
rasuah di jabatan tersebut.
Ketua Setiausaha Negara Tan Seri Dr Ali Hamsa mendakwa
tidak timbul soal penglibatan kerajaan dalam Projek IC kerana ia
didalangi sindiket dan individu tertentu yang didorong faktor kewangan.
Mengecam kenyataan terbabit, Jimmy yang juga Ahli Parlimen
Kota Kinabalu menyatakan rakyat Sabah tidak pernah percaya dengan
penemuan kononnya kerajaan tidak terlibat dalam Projek IC.
“Kesaksian bekas pegawai-pegawai JPN adalah mencukupi untuk mengaitkan pihak kerajaan.
“Kita masih ingat tiga bekas pegawai Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN) yang memberi keterangan kepada panel RCI dan kemudian
ditahan di bawah ISA kerana memberi kad pengenalan kepada warga asing.
“UMNO terlibat. Ramai (dari kalangan warga asing yang
mendapat kad pengenalan) turut didaftarkan sebagai pengundi,” katanya
baru-baru ini.
Naib Pengerusi DAP Sabah Chan Foong Hin pula menegaskan,
laporan RCI terbukti dibentangkan berdasarkan fakta yang tidak sempurna.
“Laporan menyimpulkan Projek IC itu ‘mungkin wujud’.
“Jadi bagaimana kita mahu mengharapkan kerajaan BN
memperbetulkan isu itu apabila mereka sendiri menafikan kewujudannya?,”
soal Chan. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan