Khamis, 25 Disember 2014

PKR perlu damaikan konflik Pas, DAP


Dr Jeniri Amir Dr Jeniri Amir
 
 
SHAH ALAM – Kenyataan serta tindakan saling cabar-mencabar antara pimpinan DAP dan Pas berhubung polemik hudud jika tidak dikawal sebaiknya, mampu menjadi punca perpecahan gabungan PR.
 
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, kenyataan saling menyinggung DAP dan Pas mengundang situasi retak menanti belah yang merumitkan hubungan kedua-dua parti itu.
 
“Dalam berdepan keadaan tegang ini, sewajarnya PKR memainkan peranan sebagai kuasa pendamai yang perlu menenangkan dua komponen yang dikuasai amarah. Sekiranya gagal, perpecahan akan berlaku.
 
“Bagaimanapun, saya ramalkan sukar untuk DAP dan PKR melepaskan Pas memandangkan jumlah kerusi kemenangan. Justeru, terlalu awal untuk jangkakan begitu,” katanya.‎
 
Beliau berkata, kenyataan kasar yang dibuat Naib Pengerusi DAP, Datuk Teng Chang Khim itu jelas satu bentuk cabaran kepada Pas.
 
“Ia seolah-olah menggambarkan Pas, rakan sekutu yang cakap tak serupa bikin kerana masih bercita-cita melaksanakan negara Islam dan hudud.
 
“Jika Pas betul-betul melaksanakan hudud, pastinya DAP tidak akan terima. Ketika inilah PKR harus bertindak sebagai kuasa pendamai jika PR mahu tumbangkan BN,” katanya.
 
Jeniri berkata, walaupun Pas hanya berhasrat melaksanakan hudud di Kelantan, namun ia akan memberi gambaran tidak baik kepada DAP yang memperjuangkan negara sekular.
 
“Sekiranya Pas kekal laksanakan hudud di Kelantan, DAP dianggap gagal dalam perjuangannya.
 
“Kenyataan pedas saling menyinggung akan mengheret Pas keluar dari PR kerana desakan berterusan dibuat DAP akan menyebabkan parti berpecah,” katanya.
 
Isnin lalu, Chang Khim yang juga Adun Sungai Pinang melalui statusnya menerusi laman sosial Facebook, meminta Pas keluar PR jika mahu laksanakan negara Islam dan hudud.
 
Kelmarin, Menteri Besar, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menyifatkan kenyataan Chang Kim itu sebagai pandangan peribadi dan yakin PR terus kukuh walaupun berbeza pendapat.

Tiada ulasan: