BATU PAHAT: Gesaan Khairy Jamaluddin untuk
meremajakan partinya petunjuk nyata ketakutan UMNO terhadap kuasa anak
muda yang lebih berpihak kepada pembangkang terutamanya DAP, kata
Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.
“Dari ucapan Khairy dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU 2014)
baru-baru ini, jelas beliau kagum dengan DAP dan kecewa dengan parti
dan pemimpin mereka sendiri yang menolak suara anak muda,” kata Chin
Tong dalam Konvensyen bersama Pemuda DAP (DAPSY) dan Wanita Johor di
Batu Pahat, semalam.
Kata Liew, kemampuan DAP mengiktiraf dan menghargai
pandangan anak muda terbukti apabila enam dari 20 Ahli Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC) dilahirkan selepas 1970, manakala dua darinya
iaitu Teo Nie Ching dan Zairil Khir Johari lahir selepas 1980.
“Daripada 104 Adun DAP, 21 orang dilahirkan selepas 1980 manakala lima daripada 13 Adun kita di Johor dilahirkan selepas 1980.
“Dengan pindaan Perlembagaan parti dicadangkan pada
Persidangan Kebangsaan minggu depan, bilangan anggota CEC meningkat dari
20 kepada 30 orang sekaligus lebih ramai pemimpin muda dipilih sebagai
pembuat dasar parti pada masa akan datang.
“Tidak seperti parti-parti lain, DAP memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin,” ujarnya.
Liew turut memuji usaha Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke
Siew Fook yang telah menerajui perubahan bagi DAPSY dengan mengurangkan
had umur kepada 35 tahun pada tahun 2012 ketika menjawat sebagai Ketua
Pemuda.
Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dalam PAU 29 November
lalu berulang kali menggesa partinya menerapkan konsep peremajaan parti
bagi menarik golongan muda yang dilihat cenderung memilih DAP.
Walaupun menggunakan bahasa agak kasar dengan
memperlekehkan calon muda Parlimen Teluk Intan DAP Dyana Sofya Mohd
Daud, namun beliau secara tidak sedar telah mengagumi DAP yang
mengangkat peranan golongan muda.
Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP turut
menyarankan agar DAPSY dijadikan tempat latihan bagi golongan muda
berusia 17 hingga 30 tahun, dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan