Muhammad Khalil Abdul Hadi Muhammad Khalil Abdul Hadi
 
 
SHAH ALAM - Kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak berkomunikasi dengan rakan pemimpin dalam pakatan adalah tidak benar, kata Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Menurutnya, hubungan antara parti dalam PR bukan berbentuk individu dengan individu sebaliknya hubungan antara parti dengan parti.

“Sepatutnya tidak timbul isu seperti ini kerana kita (Pas) dalam PR sentiasa berkomunikasi antara sama lain,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muhammad Khalil berkata, soal kesihatan yang menyebabkan Abdul Hadi tidak berkomunikasi juga tidak timbul kerana doktor telah membenarkan beliau meneruskan tugasan seperti biasa.

“Beliau telah ke Parlimen dan saya yakin sewaktu di Parlimen, beliau berjumpa dengan pimpinan tertinggi PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Cuma beliau memerlukan rehat yang cukup bagi memastikan tahap kecergasan kembali pulih selepas sakit tempoh hari," katanya yang juga anak Abdul Hadi.

Katanya, PKR dan DAP sepatutnya mencari jalan memperkukuhkan ikatan antara parti dalam PR.

“Saya berpendapat PKR dan DAP seolah-oleh tidak ada isu lain dibangkitkan sehingga sering mengaitkan isu berkaitan Presiden Pas. Seperti sedia maklum, Pas pada muktamar semenetapkan pendirian untuk terus bersama PR dan tidak akan berganjak,” katanya.