Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara (PJU), Mohd Azli Mohd Saad (kiri) pada sidang media di Bangunan Umno Selangor, di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara (PJU), Mohd Azli Mohd Saad (kiri) pada sidang media di Bangunan Umno Selangor, di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
SHAH ALAM - Kepimpinan Umno Selangor digesa mengambil tindakan tegas dan tidak berlembut lagi terhadap mana-mana ahli parti itu yang didapati menjadi 'musuh dalam selimut'.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara (PJU), Mohd Azli Mohd Saad menegaskan Umno tidak perlu tunduk lagi kepada ugutan 'orang dalam' yang berebut jawatan berbanding mengutamakan perjuangan parti itu.

"Kita sarankan kepimpinan parti Umno Selangor supaya bertindak tegas, kita tak mahu mereka yang mengugut kerana jawatan dan kepentingan peribadi.

"Kalau sesiapa yang mengugut parti, menjadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, keluarlah kamu," katanya kepada pemberita di pejabat Umno Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan segelintir ahli Umno Cawangan Damansara Dalam yang didakwa mengugut mahu keluar dari parti dengan menaikkan kain rentang kononnya tindakan keluar parti itu dibuat secara besar-besaran.

Sebanyak lapan kawasan dikesan di mana kain rentang itu dinaikkan antaranya Bangunan Umno Shah Alam, Kelana Jaya dan PJU.

Mengulas lanjut, Mohd Azli juga menafikan dakwaan mengatakan beberapa cawangan Umno dalam PJU akan keluar parti sedangkan hanya dua individu tanpa nama disebut sahaja yang sudah menghantar notis pemberhentian itu.

"Saya menafikan dakwaan yang terkandung dalam kain rentang itu bahawa kesemua 10,000 ahli kami akan keluar parti sedangkan tidak sampai 10 individu yang mahu berbuat demikian," ujarnya.

Beliau berkata lagi, tindakan segelintir pengkhianat itu didakwa hanya mahu memalukan Umno Selangor sahaja.

"Walaupun Umno sudah beri mereka pelbagai kebaikan (manfaat), bila satu permintaannya tidak dipenuhi, mereka ugut kita dengan cara itu dan hanya mahu memalukan parti," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Bahagian PJU, Mohd Fakhzan Md Noor berkata sekumpulan ahli Umno yang kecewa itu mahu menyatakan tujuh sebab mereka keluar parti namun sehingga kini ia tidak kelihatan.

"Kalau hendak keluar parti, mereka tak perlu datang dan jejakkan kaki mereka di Bangunan Umno Selangor lagi.

"Isu ini sebenarnya kes terpencil untuk memalukan parti dan mereka yang terbabit ini tidak berjawatan tinggi pun dalam Umno cawangan PJU.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian PJU, Amir Syukor pula mendedahkan mereka yang terbabit dalam lingkungan 40-an ke atas dan tindakan itu mahu menunjukkan seolah-olah Umno itu lemah di mata rakyat.

"Dia cuba tunjuk seolah-olah Umno itu lemah, sedang Ketua Bahagian, Ketua Pemuda, Ketua Wanita masih bersama dengan kita.

"Kita tak mahu pengkhianat bangsa, sudah dapat segala kemewahan, kemudian keluar dan tentang parti pula untuk buka pekung parti.

"Umno tidak hadap orang-orang macam ini, kita mahu orang yang mempunyai jati diri tinggi dan tidak mahu mereka yang merajuk," katanya.