shahbudindotcom
Pada
peringkat awal berita itu tersebar, ramai pemimpin dan pengendali media
sosial pro UMNO menyambutnya dengan gembira. Masa depan politik Anwar
seolah-olah telah musnah dan mati dengan penarikan gelaran itu.
Ada
yang berkata Anwar hanya akan dipanggil "Saudara Anwar" atau "Brother
Anwar" saja selepas ini. Ada pula yang berkata cukup dengan Anwar saja.
Yang memperlekeh pula meminta dipanggil "Datin Seri Anwar" berikutan
isterinya, Dr Wan Azizah bergelar Datuk Seri.
Hanya
setelah didedahkan bahawa Anwar masih mempunyai sekurang-kurangnya
tujuh lagi gelaran Datuk termasuk tiga Datuk Seri, barulah mereka yang
riuh-rendah pada awalnya tadi mula berdiam diri. Ditarik cuma satu, ada
banyak lagi yang berbaki.
Tetapi
serangan mereka tidak berakhir setakat itu saja. Ada pula yang meminta
Anwar memulangkan semula semua gelarannya dan ada juga yang terlebih
daulat meminta supaya Sultan dan Yang Dipertuan Negeri yang pernah
menganugerahkan gelaran kepada Anwar agar menarik balik semua gelaran
itu.
Ketua
Pembangkang DUN Selangor, Shamsudin Lias pula meminta Anwar meletakkan
jawatan sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor berikutan dakwanya,
penarikan gelaran itu menyebabkan Anwar telah hilang intergeritinya.
Sebenarnya
penarikan gelaran Anwar itu adalah kuasa dan pertimbangan Sultan yang
tidak perlu kita kaitkan dengan politik atau perkara lain. Baginda
berhak memberi dan menarik balik atas apa juga alasan. Dan Anwar sendiri
menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka serta mengambil maklum
mengenainya dan menyatakan tidak pernah meminta atau memohon gelaran
itu.
Sebelum
ini ramai yang sudah pernah ditarik gelaran termasuk Tengku Razaleigh
Hamzah dan Ibrahim Ali. Sebagaimana Ku Li dan Ibrahim Ali tidak terkesan
atau mati hayat politiknya dengan penarikan gelaran oleh istana, Anwar
juga demikian.
Beliau
akan meneruskan perjuangan politiknya selagi mampu dan selagi diberi
sokongan oleh rakyat. Tidak perlu diminta menyerahkan gelaran yang lain
atau meminta semua gelarannya ditarik balik. Tidak perlu juga diminta
melepaskan jawatannya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kerana itu
adalah hak Menteri Besar dan tiada kena-mengena sama ada bergelar atau
pun tidak. Juga tidak perlu dikaitkan dengan apa-apa yang lain kerana
semuanya tidak berkaitan.
Sama
ada bergelar atau tidak, tidak mengubah apa-apa kepada Anwar.
Kadangkala panggilan tanpa gelaran lebih menyerlahkan kemesraan. Ghafar
Baba tetap dihormati dan disanjung walau tidak bergelar apa-apa ketika
memegang jawatan dalam kerajaan. Beliau hanya menerima gelaran Tun
setelah bersara dan meninggalkan kerajaan.
Memang
ada orang yang bangga dan memburu gelaran Datuk atau Datuk Seri ini. Ia
bagaikan aksesori paling mahal yang menghiasai kehidupan mereka. Ada
pula yang tidak peduli dengannya dan walaupun mempunyai gelaran tertentu
tetapi tidak kisah dipanggil apa pun. Yang menolak gelaran pun ramai
juga.
Mereka
yang ada jasa dan sumbangan kepada bangsa dan negara mungkin berhak
berbangga dengan gelaran ini kerana tanda adanya pengiktirafan. Gelaran
Datuk atau Datuk Seri tentunya menjadikan mereka lebih dihormati dan
berseri-seri. Begitu juga dengan mereka yang dikenali dalam masyarakat,
gelaran Datuk atau Datuk Seri seringkali menambah aura dan seri kepada
penampilan seharian.
Tetapi
ada juga mereka yang kita tidak tahu jasa dan sumbangannya, tiba-tiba
diketahui telah menerima gelaran Datuk atau Datuk Seri. Kadang-kadang
kawan lama yang berpuluh tahun tidak berjumpa, tiba-tiba sekarang sudah
bergelar Datuk atau Datuk Seri juga. Mungkin ia rezeki dan pilihan
mereka sendiri yang tidak perlu kita gundah-gulana dengannya.
Tambahan
pula, selain ada sembilan Sultan atau Raja, negeri tidak beraja melalui
Yang Dipertuan Negeri juga berhak memberikan gelaran Datuk atau Datuk
Seri ini. Belum termasuk lagi Sultan Sulu, Mindanao, Naning dan Sultan
Melaka yang tidak diiktiraf. Untuk itu, saban tahun mereka yang bergelar
ini berganda jumlahnya sehingga kadangkala di keliling kita lebih ramai
yang bergelar Datuk atau Datuk Seri daripada yang tidak mempunyai
sebarang gelaran apa-apa.
Bahkan,
pelakon Hindi, Shah Rukh Khan dan ada individu daripada Bangladesh
serta Indonesia juga turut bergelar Datuk dan Datuk Seri sekarang ini.
Kerap
kali juga mereka yang bergelar ini bila berbual membahasakan diri
mereka sendiri sebagai Datuk atau Datuk Seri. Itu maknanya mereka ingin
memberitahu gelaran yang ada padanya dan mahu kita memanggilnya dengan
Datuk atau Datuk Seri juga. Kalau ringan mulut, panggillah mereka
dengan penghormatan itu.
Kadangkala
wajah mereka yang masam dan tak berseri, terus berubah jadi
berseri-seri bila kita memanggilnya dengan gelaran Datuk atau Datuk Seri
itu. Sekurang-kurangnya dengan memanggil mereka dengan gelaran yang
diberi oleh istana itu berjaya menambahkan lagi keceriaan dunia ini.
Oleh itu, jika ada tanda-tanda kawan kita yang bergelar mahu dipanggil
dengan gelaran yang diterimanya, lakukanlah dengan senang hati kerana ia
juga menunjukkan budi bahasa kita.
Namun
demikian, ada juga mereka yang bergelar Datuk atau Datuk Seri ini yang
tampil tidak berseri atau tanpa berseri langsung. Kita pula kadangkala
tidak percaya mereka itu sudah bergelar Datuk atau Datuk Seri jika
dinilai daripada penampilannya.
Apa
pun, meski ada yang menganggap gelaran Datuk atau Datuk Seri sebagai
aksesori paling mahal dalam kehidupan, perhiasan paling bernilai
tetaplah budi bahasa sejak dulu, kini dan selamanya. Jika bergelar Datuk
atau Datuk Seri tetapi tinggi budi bahasannya, pujian melangit akan
selalu diberikan tetapi jika buruk budi bahasa, kelakuan dan perangai,
walau ada 17 gelaran Datuk atau Datuk Seri sekalipun, tetap juga
dipandang rendah oleh manusia lain.
Sekadar
contoh, kiranya bergelar Datuk atau Datuk Seri tetapi sesuka hati
memanggil orang lain dengan gelaran "haramjadah" atau "bangang",
lama-kelamaan penghormatan akan hilang dan mungkin dibalas dengan cacian
atau makian pula. Gelaran Datuk atau Datuk Seri tidak memberi kelebihan
kalau tidak disertai dengan budi bahasa dan peri laku yang baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan