Jumaat, 12 Disember 2014

MP Pakatan akan bersama mahasiswa ‘Occupy UM’

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan bersama mahasiswa yang menganjurkan perkhemahan di hadapan Universiti Malaya, untuk menuntut hukuman ke atas lapan pimpinan mahasiswa universiti itu (UM8) digugurkan.

Menurut Rafizi, sebagai solidariti dengan siswa dan gerakan menuntut kebebasan akademik keseluruhannya, pihaknya menyeru supaya pimpinan parti politik, NGO dan aktivis menyertai mahasiswa berkenaan.

Katanya, beliau sendiri akan berkhemah bersama-sama mereka pada Ahad ini, bermula jam 11 malam dan menjemput aktivis lain bergilir-gilir setiap hari sehingga hukuman kepada mereka digugurkan.

Katanya, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga melakukan insiatif untuk mengumpulkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi menyerahkan nota bantahan kepada Pengurusan Universiti Malaya, Selasa depan.

“Pengurusan Universiti Malaya seharusnya memberi tumpuan kepada soal meningkatkan mutu pendidikan dan manusiawi yang diterapkan oleh universiti itu, bukan mengekang suara dan kegiatan siswa,” katanya dalam kenyataan bersama Ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Sejak semalam, mahasiswa berkenaan berkhemah di pintu pagar utama universiti sebagai tanda solidariti ke atas rakan mereka yang dijatuhi hukuman kerana menganjurkan pidato bersama ketua pembangkang, Saudara Anwar Ibrahim pada penghujung Oktober lalu.

Universiti itu menggantung pengajian bekas Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol selama dua semester dan mendendanya RM600.

Seorang lagi pelajar Safwan Shamsudin digantung pengajian satu semester, empat yang lain diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang, manakala seorang pelajar dilepaskan dengan amaran.

Tiada ulasan: