Rabu, 17 Disember 2014

Mangsa projek Majestic Height dibela kerajaan Pulau Pinang

Guan_Eng_rumah_mampu_milik_Penang

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pembeli rumah Fasa 2 Majestic Height menarik nafas lega apabila pemaju PLB Sdn Bhd dimuktamadkan sebagai pemaju baru projek perumahan yang terbengkalai sejak 1998.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengumumkan perjanjian baru antara pemaju dan pembeli melalui khidmat guaman Salina, Lim Kim Chuan & co.

Projek perumahan Majestic Heights merupakan skim perumahan terbesar yang terbengkalai di negeri ini diumumkan kerajaan pada 31 Disember 2003, menyebabkan kerugian kepada para pembeli dalam  tempoh 11 tahun.

Menurut Lim Guan Eng, projek tersebut tidak dapat dimulakan jika gagal mendapat persetujuan 220 pembelinya.

“(Kami) berharap baki pembeli hadir untuk menandatangani perjanjian tersebut.

“Kerajaan Pulau Pinang memandang serius nasib pembeli yang menjadi mangsa projek perumahan terbengkalai, dan akan membantu sedaya-upaya agar pemulihan selesai,’ kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Menurut Guan Eng, sehingga kini 127 pembeli telah menandatangani perjanjian tersebut, selepas diumumkan 10 Disember lepas.

Ujarnya, pembeli membayar RM 10,000 kepada firma guaman yang bertindak sebagai pemegang saham dengan separuh dari jumah bayaran dipulangkan semula selepas projek disiapkan.

Difahamkan, projek Fasa 2 Majestic Height menelan belanja berjumlah RM 17 juta.

Sebelum ini, pemaju meminta RM 45,000, namun hasil rundingan dengan kerajaan negeri, pihak terbabit menurunkan jumlahnya kepada RM10,000.

Tarikh akhir untuk menandatangani perjanjian itu adalah pada Rabu, 17 Disember 2014 dan pembeli dinasihatkan datang terus ke tingkat 53 bangunan KOMTAR bagi tujuan tersebut. – Roketkini.com

Tiada ulasan: