Rabu, 17 Disember 2014

DAP perkukuh peranan wanita, MCA fobia wanita

Kasthuri_Patto

Roketkini.com


GEORGE TOWN: DAP mengecam tuduhan kolot Pengerusi Biro Harmoni Agama MCA Ti Lian Ker yang mendakwa kuota 30 peratus wanita hanyalah taktik untuk memancing undi kaum Hawa.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang Kasthuri Patto berkata, dakwaan tersebut menzahirkan betapa jahilnya MCA dalam usaha memperkukuh peranan wanita dalam arena politik yang kian lama didominasi kaum lelaki.

“Mengapa sesempit ini pemikiran dan reaksi MCA?

“Tidakkah MCA sedar bahawa peratusan wanita yang keluar membuang undi pada PRU 13 lalu adalah 50.23 peratus atau 6,664,474 pengundi berbanding hanya 49.77 peratus lelaki.

“Jadi atas rasional apakah cadangan kuota 30 peratus ini dipertikaikan?,” soal Kasthuri.

Tegasnya, berbeza dari parti lain, DAP sentiasa komited dan percaya sebuah masyarakat yang meletakkan kepentingan hak wanita akan melindungi dan hak asasi manusia sejagat.

“Wanita merangkumi lebih separuh populasi warga dunia, 70 peratus warga miskin dunia dan dua pertiga masih buta huruf.

“Wanita harus diberikan hak untuk mengambil bahagian dalam mengolak senario politik negara masing-masing, dan peruntukan kuota 30 peratus dalam CEC adalah langkah kami untuk memberdayakan wanita,” ujarnya.

Ahli Parlimen Batu Kawan itu turut menyelar kenyataan Ti bahawa isu gender tidak perlu diperjuangkan memandangkan wanita di Malaysia lebih berkuasa dari segi bilangan dan tahap pendidikan.

“Pandangan ini menunjukkan bahawa dia dalam situasi pemahaman yang tidak stabil dan barangkali ‘kurang sihat’.

“Apakah Ti menghidap penyaklt gynophobia, iaitu fobia terhadap wanita atau inilah sebenarnya wajah politik regresif MCA

“Jika dinilai berdasarkan rekod, apakah MCA mempunyai Ahli Parlimen wanita? Tidak ada satu pun,” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: