Selasa, 9 Disember 2014

Mahfuz : Senaraikan calon pengganti Najib


Tindakan Tun M menyatakan ramai yang layak ganti Najib bukti beliau seorang yang berani.
mahfuz-omar


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menggesa Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menyenaraikan nama calon yang layak menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Tambah beliau, mantan Perdana Menteri itu seharusnya menamakan siapakah calon-calon tersebut untuk dilihat oleh rakyat sama ada mereka memenuhi kriteria dan kelayakan yang cukup.

“Jika calon tersebut lebih dari satu Tun boleh mengaturkan perbahasan dalam kalangan mereka yang layak berserta visi dan misi hala tuju masa depan negara,” katanya di dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz seterusnya menjelaskan, pengumuman tersebut perlu dilakukan bagi memberi mereka peluang untuk berbahas dan berdebat sebelum UMNO dan Barisan Nasional (BN) memuktamadkan pengganti Najib.

Sebelum ini Dr Mahathir pernah menyatakan bahawa ramai ahli dalam parti BN dan pemimpin berkebolehan layak menggantikan Najib.

“Kenyataan Tun itu adalah satu penegasan terhadap partinya sendiri yang pernah diterajuinya selama 20 tahun lebih,” ujar beliau.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Dr Mahathir menunjukkan beliau berani bagi memastikan hala tuju negara berada dalam landasan yang betul.

Tiada ulasan: