Zafril berkata di dalam PKR tidak memerlukan parasit seperti Chegubard dan kerja memecahbelahkan PKR ini adalah kerja UMNO
Katanya, tindak-tanduk Badrul Hisham yang lebih dikenali Chegubard lebih banyak merosakkan parti dan hubungan baik antara pimpinan tertinggi PKR.
Beliau berkata, ”kerja memecahbelahkan PKR ini adalah kerja UMNO. Jika Badrul Hisham mahu jadi perosak PKR, maka kami menyeru beliau agar keluar dari PKR dan menyertai UMNO, sambil menambah, “PKR tidak memerlukan parasit seperti beliau.”
Menurutnya dalam satu kenyataan, AMK kesal dengan dakwaan Chegubard yang menuduh wakil rakyat PKR dan DAP menarik semula sokongan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku calon Menteri Besar Selangor.
Chegubard juga mendakwa kononnya Mohamed Azmin Ali berperanan dalam keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melucutkan darjah kebesaran ‘Datuk’ Seri’ terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zafril berkata, dakwaan Chegubard adalah tidak berasas serta telah dinafikan oleh wakil-wakil rakyat PKR serta DAP semalam.
“Dakwaan beliau ini dikitar semula dari kenyataan beliau sebelum ini yang bertujuan memecahbelah serta memalukan parti.
“Manakala serangan berterusan beliau terhadap Azmin pula adalah susulan dari dendam peribadi beliau yang gagal dalam percaturan politiknya untuk menyekat Azmin dari memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti baru-baru ini,” ujarnya.
Sebelum ini ahli PKR yang digantung itu telah mendedahkan empat nama ADUN yang menarik balik surat akuan sokongan kepada Dr Wan Azizah.
Empat ADUN tersebut ialah Amiruddin Shari (Batu Caves), Mat Shuahaimi Shafiee (Sri Muda), Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing) dan Ng Sze Han (Kinrara).
Semua ADUN tersebut menandatangani surat akuan bersumpah pada 11 September 2014 lalu, dan mereka mengesahkan akan mematuhi apa sahaja keputusan yang diambil oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan