kwsp
 
 
 
KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  mengambil tindakan undang-undang terhadap Perwaja Steel (Kemaman) Sdn Bhd (PSSB) setelah gagal membuat caruman bulanan KWSP, berjumlah RM9.17 juta, bagi tempoh antara Ogos 2013 dan September 2014.
     
Tindakan pendakwaan dan saman sivil yang diambil itu juga dibuat secara peribadi terhadap pengarah-pengarah syarikat di atas kegagalan yang sama.
    
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP bagi Operasi, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata, KWSP telah menyelesaikan siasatan terhadap PSSB Kemaman dan memfailkan tindakan sivil terhadap syarikat itu dan pengarah-pengarahnya di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk mendapatkan kembali caruman tertunggak.
     
"Kami juga telah memaklumkan pengarah syarikat mengenai sumbangan tertunggak oleh syarikat itu untuk memulakan tindakan mendapatkan kembali dan mendesak untuk mendapatkan pembayaran, termasuk menyekat mereka daripada meninggalkan negara ini menurut Seksyen 39, Akta KWSP 1991," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
 
Mohd Naim berkata, KWSP akan terus bersikap tegas dan mengambil tindakan terhadap majikan yang tidak mencarum kerana simpanan KWSP adalah sumber utama pendapatan persaraan bagi pekerja mereka.
     
Di bawah Akta KWSP 1991, semua majikan dikehendaki mengemukakan carumanan bulanan mereka bagi pihak pekerja mereka pada atau sebelum setiap 15 haribulan setiap bulan berikut.
     
Apabila jumlah sepenuhnya telah diterima, KWSP akan mengkreditkan  caruman tertunggak itu ke dalam akaun ahli. - Bernama