Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada perasmian Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) kali ke-22 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, hari ini. - Foto Bernama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada perasmian Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) kali ke-22 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Serdang, hari ini. - Foto Bernama
 
 

SERDANG - Keinginan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) untuk menganggotai Barisan Nasional (BN) merupakan antara permintaan yang dikemukakan parti itu pada perhimpunan agung kali ke-22 hari ini.

Presiden IPF Datuk M. Sambanthan berkata ini adalah kerana, kemasukan IPF sebagai parti komponen BN dapat menguatkan lagi kepercayaan masyarakat India terhadap BN.

"Perjuangan kita hampir 25 tahun dan sehingga kini IPF masih memohon supaya dapat menjadi parti komponen BN.

"Saya janji kalau IPF diterima sebagai parti komponen BN, IPF bersama Friends of BN akan bawa 85 peratus pengundi (India) kepada BN", katanya semasa ucapan dasar pada perhimpunan yang berlangsung di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN.

Permintaan lain termasuk jawatan senator, melantik pengerusi IPF setiap negeri sebagai pengarah di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta melantik ketua di setiap bahagian menjadi ahli majlis daerah.

Selain itu, Sambanthan turut memohon peruntukan kerajaan untuk menjalankan program tertentu serta membina rumah kos rendah untuk masyarakat India. - Bernama