Rabu, 10 Disember 2014

Elaun MB, ADUN, speaker NS naik

MALYSIAKINI


 


Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan Enakmen Anggota Pentadbiran Dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) 1980 (Pindaan 2014) yang menyaksikan kenaikan elaun Menteri Besar, Yang Dipertua DUN dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) berkuat kuasa 1 Jan depan.

Rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Pertang).

Mohamad berkata semakan secara menyeluruh ke atas saraan Adun dan Anggota Pentadbiran negeri kali terakhir dilaksanakan pada tahun 1992 dan beberapa pelarasan saraan Adun dan Anggota Pentadbiran dibuat kali terakhir pada tahun 2005.

Menurutnya dengan kenaikan itu, Adun akan menikmati elaun tetap berjumlah RM8,954, Yang Dipertua Dewan pula sebanyak RM10,888, Menteri Besar (RM19,175), Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan (RM10,888) dan Setiausaha Politik (RM5,000).

"Pelaksanaan cadangan semakan saraan anggota terbabit melibatkan pertambahan implikasi kewangan yang dianggarkan berjumlah RM3 juta setahun.

"Semakan ini juga melibatkan penyelarasan semula pencen Adun, Yang Dipertua Dewan dan Anggota Pentadbiran yang telah bersara di mana memberi implikasi kewangan tambahan sebanyak RM4.84 juta setahun bagi menampung bayaran pencen mereka," katanya.

Mohamad berkata semakan saraan Adun dan Anggota Pentadbiran Negeri ini bukan hanya dapat menangani kos sara hidup wakil rakyat yang sedang berkhidmat malahan juga kebajikan kepada wakil rakyat yang telah bersara dan keluarga.

"Selain itu juga, pelarasan ini adalah bertujuan untuk memastikan Anggota Pentadbiran Kerajaan Negeri, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Adun Negeri Sembilan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat dengan lebih cekap dan efisien," katanya.

Beliau berkata kerajaan berharap supaya dengan terlaksananya semakan dan pelarasan ini, ia akan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan semua wakil rakyat dan menjadi lonjakan dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Pihak kerajaan dari semasa ke semasa akan mengkaji kemudahan dan keistimewaan lain Adun dan Anggota Pentadbiran berdasarkan keperluan dan kewajaran, agar institusi ini dapat berfungsi dengan lebih responsif dan akauntabiliti sejajar dengan mandat dan amanah yang telah diberikan oleh
rakyat," katanya.

Persidangan dewan kemudian ditangguhkan ke satu tarikh ditetapkan kemudian. - Bernama

Tiada ulasan: