Khamis, 4 Disember 2014

DAP tolak guru dari China, mahu kerajaan utama warga Malaysia

Ramadhan - Teo Nie Ching pix

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR: DAP menentang keras cadangan kerajaan mengimport guru dan pakar dari China untuk mengajar bahasa Mandarin di sekolah-sekolah seluruh negara.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, cadangan kerajaan itu sama sekali tidak praktikal kerana guru-guru dari China kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu.

“Kami mengalu-alukan cadangan menjadikan Mandarin bahasa ketiga di setiap sekolah seluruh negara kerana percaya bahawa walaupun berlainan latar belakang geografi dan kewangan, semua berhak mendapat peluang sama.

“Persoalannya, bagaimana guru-guru dari China ini boleh berkomunikasi dengan pelajar dan mengajar Mandarin sebagai bahasa ketiga secara berkesan? Apa jaminannya?

“Bukankah sejak tahun 2007 kerajaan membelanjakan RM12 juta menghantar 409 pelajar bukan Cina ke China untuk belajar bahasa Mandarin.

“Berapa banyak pula akan dibelanjakan kali ini? kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Pada 1 Disember lalu, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata China memberi respon positif terhadap cadangan kerajaan mahu membawa masuk guru Mandarin dari negara itu.

Cadangan tersebut dibangkitkan Muhyiddin semasa mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Menteri Pendidikan China Yuan Guiren, di Beijing.

Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2014 lalu, beliau juga telah membangkitkan kepentingan untuk pelajar-pelajar seluruh negara menguasai bahasa ketiga.

Kerajaan perlu utamakan warga Malaysia

Justeru itu, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP berkata, langkah terbaik seharusnya ditekankan Muhyiddin adalah meneroka bakat dalam negara sendiri.

Menurut Nie Ching, kajian menunjukkan 21 peratus pelajar seluruh negara belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 80,000 menuntut di Sekolah Tinggi Persendirian Cina.

“Semua ini adalah calon-calon berpotensi menjadi guru bahasa Mandarin pada masa akan datang.

“Kerajaan harus meningkatkan pengambilan untuk mengajar bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga di Program Ijazah Muda Perguruan (PSIMP), Diploma Perguruan Malaysia Kursus Dalam Cuti (KDM-KDC) dan melibatkan diri dengan Dong Jiao Zong.

“Kaedah ini lebih mudah dan efektif untuk menghasilkan 30,000 guru Mandarin bagi 10,000 sekolah kebangsaan,” ujarnya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: