Khamis, 4 Disember 2014

RCI: K'jaan, parti tak terlibat kes kerakyatan

MALAYSIAKINI


 


Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah pendatang asing di Sabah dalam laporannya menegaskan bahawa tiada pihak kerajaan atau parti politik terlibat dalam pengeluaran kerakyatan kepada migran yang tidak layak di negeri itu.

Ia menangkis dakwaan yang tersebar luas bahawa agensi persekutuan dan pemimpin Umno mengeluarkan kerakyatan demi mendapatkan undi bagi menewaskan lawan mereka dalam rancangan yang digelar 'Projek IC'.

Sebaliknya, laporan RCI itu mengenalpasti sindiket melibatkan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang didakwa mengeluarkan kerakyatan secara haram untuk bayaran jutaan ringgit.

“Tiada motif politik dalam pengeluaran kad pengenalan haram,” kata Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa semasa melancarkan laporan tersebut di Kota Kinabalu hari ini.

Menurut siasatan suruhanjaya, Jabatan Pendaftaran Negara telah menurut tatacara yang ditetapkan dalam mengeluarkan kad pengenalan dan kerakyatan.

Namun, terdapat pihak “korup” yang telah menyalahgunakan proses tersebut dengan menggunakan pengesahan maklumat palsu dan lain-lain untuk membuktikan mereka layak diberikan kerakyatan.

“Ini jelas menunjukkan bahawa isu 'Projek IC' yang dibangkitkan tidak timbul,” beliau berkata dalam ucapan sebelum sidang media.

“Kerajaan amat berharap agar dengan pengumuman Laporan Siasatan Suruhanjaya in, isu mengenai pendatang asing di Sabah tidak lagi digembar-gemburkan.”

Tidak jejas keputusan pilihan raya

RCI melaporkan bahawa seramai 68,703 orang yang asing diberikan kerakyatan di antara tahun 1963 sehingga 31 Ogos, 2013.

Ia mengesyorkan siasatan lanjut untuk mengetahui berapa ramai dari jumlah tersebut telah menggunakan kaedah haram untuk mendapatkan kerakyatan.

Jumlah yang dilaporkan jauh lebih rendah dari anggaran Surahanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan jumlah individu yang telah mendapatkan kerakyatan secara haram.

Anggaran Suhakam adalah berdasarkan kajian dari bekas pemimpin PBS Dr Chong Eng Leong.

RCI juga mendapati, ada di kalangan individu tersebut didaftarkan sebagai pengundi, namun jumlahnya yang sebenar tidak dapat ditentukan.

Menurut Peguam Negara Abdul Gani Patail, ini tidak mempunyai implikasi atas keputusan pilihanraya yang lalu.

“Tiada implikasi kerana jumlahnya terlalu sedikit (neglible),” katanya di sidang media tersebut.

Beliau berkata proses pembersihan daftar pemilik oleh JPN and Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sedang berjalan dan SPR telah pun mengeluarkan sebilangan pengundi yang didapati telah memperoleh kerakyatan secara haram.

Namun, beliau tidak dapat memberikan jumlah pengundi yang telah dikeluarkan dari daftar pengundi atas sebab tersebut.

Tiada ulasan: