Nazri  Nazri
 
 
ROMPIN – Pemuda Pas Pahang mendesak kerajaan negeri Pahang berlaku adil dengan menyalurkan peruntukan dan kemudahan kepada wakil rakyat pembangkang di negeri ini, sebagaimana peruntukan yang diberikan kepada wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Ini susulan, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun untuk program pembangunan diberikan kepada kesemua 13 wakil rakyat pembangkang dan bebas menerusi Bajet Selangor 2015, baru-baru ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang pula turut memperuntukkan RM40,000 kepada wakil rakyat pembangkang di negeri itu untuk projek berskala kecil di kawasan pegangan pembangkang.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Nazri Ahmad, berkata, rakyat di kawasan Parlimen atau Dun yang dimenangi Pakatan Rakyat (PR) adalah rakyat negeri ini juga dan mereka juga berhak mendapat keistimewaan serta kemudahan yang ada.

“Kita berharap agar kerajaan negeri Pahang di bawah pentadbiran Datuk Seri Adnan Yaakob boleh mengikut contoh yang telah dimulakan oleh kedua buah kerajaan di bawah pentadbiran PR iaitu Pulau Pinang dan Selangor yang memberi peruntukan yang sewajarnya kepada wakil rakyat pembangkang di negeri itu.

“Mereka juga membayar cukai sebagaimana yang dilakukan rakyat lain, maka sewajarnya mereka juga dilayan secara adil walaupun mereka telah memilih calon PR menjadi wakil rakyat di kawasan mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Nazri berkata, Kerajaan BN negeri ini sepatutnya mengambil contoh kerajaan PR di Selangor dan Pulau Pinang yang mengagihkan peruntukan kerajaan negeri untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing kepada semua wakil rakyat, termasuk pembangkang.

Menurutnya, mereka juga mendapat pelbagai kemudahan sebagaimana yang diterima oleh wakil rakyat PR di kedua negeri itu.

“Kerajaan BN Pahang sepatutnya membuktikan seruan Perdana Menteri sebaik sahaja selesai Pilihan Raya Umum yang lalu yang mengajak seluruh rakyat, termasuk pembangkang bersama-sama beliau membangunkan negara, dengan mengetepikan perbezaan politik.

“Sikap kerajaan yang melakukan diskriminasi kepada wakil rakyat pembangkang ini dilihat mengamalkan ‘politik balas dendam’ dan ia merupakan suatu sikap yang tidak dapat diterima oleh generasi hari ini yang akhirnya menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya.